bhnews@bh.com.my
GUA MUSANG: Pemandu treler yang hilang selepas kenderaan sarat muatan balak dipandunya terjunam ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Lojing-Gua Musang, petang semalam, ditemui mati lemas, hari ini.
Mangsa, Kamarulzaman Sallehuddin, 33, dari Ladang Rengas, Perak, ditemui dalam kenderaannya selepas diangkat naik ke darat menggunakan dua kren, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata operasi mencari dan penyelamat (SAR) terpaksa menggunakan dua kren untuk mengangkat naik kepala treler.
Beliau berkata, usaha itu terpaksa dilakukan berikutan operasi SAR yang menggunakan tenaga penyelam membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, gagal menemui mangsa.
Katanya, sebaik berjaya mengangkat naik kepala treler, mangsa ditemui tersepit dalam kenderaan itu yang remuk.
“Anggota bomba terpaksa menggunakan pelbagai alat bagi mengeluarkan mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Choon Foo berkata, dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa dalam perjalanan membawa kira-kira 50 batang balak ke pusat timbang balak di Kampung Kuala Betis.
Katanya, kayu balak itu dimuat mangsa di Betau Batu 30, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, dalam perjalanan ke Kampung Kuala Betis, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebaik menuruni bukit ketika melalui jalan berselekoh.
Berikutan itu, katanya, kenderaannya terbabas di sebelah kiri jalan sebelum terjunam dalam tasik bersama sebahagian kayu balak yang berada di atas trelernya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan daripada rakan mangsa, kayu balak yang dimuatkan atas trelernya selepas dibuat timbangan akan dibawa pula ke kilang papan di Ipoh.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor, berkata sepasukan 10 anggotanya dengan dibantu oleh tujuh anggota unit skuba terbabit dalam SAR.
Bagaimanapun, katanya, operasi SAR mengesyaki mangsa terperangkap dalam treler tetapi sukar dikesan berikutan kenderaan remuk.
“Kita terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat kepala lori dan dengan menggunakan peralatan khas kita berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa 15 minit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




