Pemandu treler kunci pintu, mati enjin elak kena 'timbang' JPJ

Pemandu treler kunci pintu, mati enjin elak kena 'timbang' JPJ

am@hmetro.com.my

Kulim: Seorang pemandu lori treler yang ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di persimpangan lampu isyarat Politeknik Sultanah Bahiyah, di sini semalam bertindak mengunci kenderaannya ketika hendak diperiksa pihak berkuasa.

Lelaki tempatan berusia 38 tahun itu dipercayai membawa muatan lebih had dibenarkan dan ditahan anggota JPJ Cawangan Kulim dalam satu operasi pada jam 1.11 tengah hari semalam.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu lori treler itu memberhentikan lori treler berkenaan selepas diarahkan anggota JPJ terbabit untuk menjalani proses penimbangan namun lelaki itu tidak memberi kerjasama dan enggan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Beliau berkata, lelaki itu didapati mengunci pintu dan mematikan enjin kenderaan dalam usaha menghalang tindakan lanjut oleh anggota penguat kuasa JPJ.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesalahan dikesan antaranya disyaki membawa muatan melebihi had dibenarkan (muatan silica sand), menghalang kelancaran lalu lintas di lokasi kejadian.

“Selain itu lori itu didapati memasang aksesori berbahaya (lampu isyarat berkelip/ flashing light) dan tayar pada gandar keempat sebelah kanan tidak dipasang akibat kerosakan (tayar pecah).

“Berikutan itu, pegawai kami kemudian meminta bantuan anggota dari Balai Polis Kulim Hi-Tech untuk membantu mengawal situasi dan laporan turut dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya turut mengeluarkan saman di atas semua kesalahan yang dikesan dilakukan pemandu lori terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top