nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Tertekan pedal minyak hingga kenderaan terbabas dipercayai punca pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, di sini dilanggar hingga maut dalam kawasan sekolah, hari ini.
Dalam kejadian 1.50 tengah hari itu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi pelajar cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian berkenaan membabitkan kereta yang dipandu seorang wanita dan dua mangsa.
“Siasatan awal mendapati, pemandu kereta yang sedang memandu di dalam kawasan sekolah, tertekan pedal minyak, lalu terbabas sehingga terlanggar dua pelajar dan tiang batu.
“Mangsa ketika itu sedang memakai kasut sekolah di hadapan surau dan akibat pelanggaran, seorang daripadanya parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi kini dirawat Zon Merah HRPZ II.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HPUSM Kubang Kerian untuk dibedah siasat. Pemandu kenderaan tidak cedera,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian serta mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Satu maut dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kawasan sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




