mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemantapan integriti menjadi fokus utama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam usaha memartabatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai organisasi yang profesional dan disegani dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Mohd Khalid berkata, sejak penubuhannya pada 25 Julai 2014, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sudah memainkan peranan dalam memastikan PDRM terus kekal sebagai sebuah organisasi
penguat kuasaan yang berintegriti, berwibawa dan beretika.
“Lantaran itu, saya dengan rasa tanggungjawab mengangkat integriti sebagai Fokus Utama Ketua Polis Negara dalam usaha memartabatkan PDRM.
“Saya yakin, selain inisiatif pemantapan dan pembudayaan integriti, program-program kerohanian dan sahsiah yang dianjurkan oleh JIPS juga berupaya mengukuhkan agenda kesejahteraan serta pemantapan budaya kerja sihat dalam kalangan warga Pasukan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan PDRM, di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika ini, PDRM sedang giat membangunkan Strategi Pembanterasan Rasuah Polis Diraja Malaysia (OACS) berpandukan kepada Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) bagi memperkukuh integriti, tata kelola dan usaha pembanterasan rasuah.
“Inisiatif ini adalah indikator terbaik bagi mengekang dan menjauhkan sebarang bentuk salah laku serta pelanggaran etika perkhidmatan dalam kalangan warga Sang Saka Biru.
“Saya menyeru, supaya semua jabatan dan formasi dapat bersama sama berganding bahu, memainkan peranan secara proaktif bagi memastikan Strategi Pembanterasan Rasuah PDRM dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam menangani kegiatan korupsi serta rasuah,” katanya.
Beliau berkata, perlu diingat, tanggungjawab memelihara integriti dan imej pasukan tidak terletak sepenuhnya di bahu JIPS, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak khususnya pegawai penyelia dari peringkat bawahan sehinggalah kepada peringkat pegawai atasan.
“Sehubungan itu, saya berharap agar barisan kepimpinan pasukan, terus memperkukuh penyeliaan melalui ‘close monitoring’, pematuhan kepada Arahan Ketua Polis Negara No 191 berkaitan Total Enforcement ke atas Peraturan 3C : Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) sebagai asas mencegah salah laku, serta menambah baik persepsi masyarakat seluruhnya.
“Saya ingin menegaskan PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam salah laku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




