‘Seperti anda tentu bersetuju.. PAS bukan Islam, Islam bukan PAS’ – Tony Pua

‘Seperti anda tentu bersetuju.. PAS bukan Islam, Islam bukan PAS’ – Tony Pua

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menegaskan bahawa seruan untuk menghentikan “Green Wave” atau Gelombang Hijau bukan ditujukan kepada Islam, sebaliknya merujuk kepada usaha mengekang pengaruh politik PAS.

Menurut beliau, istilah itu yang sering digunakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merujuk kepada peningkatan sokongan terhadap PAS yang disifatkannya berjaya mencatat kemaraan besar dalam pilihan raya lalu, termasuk mengambil sebahagian sokongan tradisi UMNO.

“‘Stopping the Green Wave’ bermaksud menghentikan PAS. PAS mencatat kemaraan besar dalam pilihan raya lalu, malah sering memperoleh sokongan yang sebelum ini memihak kepada UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Foto arkib: Malay Mail

Tony turut menegaskan bahawa PAS tidak boleh disamakan dengan agama Islam dan menyifatkan tindakan mengaitkan usaha menentang PAS dengan Islamofobia sebagai satu dakwaan yang tidak tepat.

“Seperti yang anda sendiri tentu bersetuju, PAS bukan Islam dan Islam juga bukan PAS. Jadi, adalah sangat tidak jujur untuk menyamakan usaha menghentikan PAS dengan sikap Islamofobia,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh kerjasama politik antara UMNO dan PAS, namun menegaskan bahawa pendiriannya terhadap PAS tidak bermaksud tidak menghormati Islam.

“Hanya kerana UMNO dan Barisan Nasional kini bekerjasama dengan PAS, biar saya ulang supaya tiada sebarang kekeliruan, kami mahu menghentikan PAS namun kami menghormati Islam sepenuhnya dan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu.

Sebagai konteks, Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menuduh Pakatan Harapan (PH) menjalankan kempen yang bersifat Islamofobia apabila memberi amaran kepada pengundi Johor bahawa mengundi Barisan Nasional (BN) akan membuka ruang kepada PAS untuk memperoleh lebih banyak pengaruh.

“Kononnya ada ‘gelombang hijau’, undi BN dapat PAS. Ini satu bentuk undi (kempen) yang saya lihat agak Islamofobia, apalagi naratif itu keluar daripada menteri-menteri.
“Saya nak bagi tahu BN tidak bergabung dengan siapa-siapa. Ini ‘gelombang biru’ akan dicetuskan pada 11hb (Julai) Sabtu ini,” kata Khairy ketika berkempen untuk calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, baru-baru ini.

Sumber: Facebook Tony Pua

Scroll to Top