Pembangunan industri EV tidak wajar disandar pada pelaburan asing

Pembangunan industri EV tidak wajar disandar pada pelaburan asing

KUALA LUMPUR: Pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) negara tidak wajar disandarkan kepada kemasukan pelaburan asing semata-mata.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia harus diimbangi dengan lonjakan nilai tambah domestik, pemerkasaan rangkaian vendor tempatan dan pelaksanaan pemindahan teknologi.

“Langkah strategik ini amat penting bagi memastikan ekosistem automotif tempatan kekal kompetitif, lestari dan terus berfungsi sebagai nadi utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkenaan rasional kerajaan memperkenalkan peraturan baharu terhadap pengeluar dan penjual EV di Malaysia.

Johari berkata, usaha menarik pelaburan asing perlu dilaksanakan secara seimbang dan berhati-hati tanpa mengabaikan pembangunan industri automotif tempatan, khususnya pengeluar nasional.

“Dalam hal ini, kerajaan telah meneruskan pemberian insentif cukai untuk EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027 bagi membolehkan industri tempatan menghasilkan EV yang lebih kompetitif untuk memenuhi permintaan pasaran, di samping memperkukuh pembangunan rantaian bekalan domestik,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top