am@hmetro.com.my
Jitra: Seorang pemandu lori membawa muatan simen ditahan selepas didapati positif dadah hasil pemeriksaan Ops Bersepadu Khas Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan dilakukan di Plaza Tol Jitra, di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 43 tahun itu didapati positif Methampetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah sekitar jam 10 malam.
Dia yang berasal dari Pendang memberi alasan mengambil dadah untuk memberi tenaga serta menahan rasa mengantuk ketika memandu lori.
Pemandu lori itu mendakwa perlu menghantar muatan simen berkenaan dari Perlis ke Perak.
Katanya, dia yang mengambil dadah itu sejak beberapa tahun lalu baru bekerja sebagai pemandu lori dengan syarikat berkenaan sejak setahun lalu.
“Lepas ni saya janji tak ambil dah, semuanya sebab pengaruh kawan. Saya ambil dadah ni sejak anak kedua lahir dan sekarang dah ada tiga anak.
“Saya ambil dadah ni sebab nak tahan mengantuk dan beri tenaga berpanjangan sebab nak pandu lori dari Perlis ke Perak seorang diri, ” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki itu ditahan AADK untuk siasatan lanjut.
“Tindakannya mengambil dadah ketika memandu sangat merbahaya dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu malam tadi disertai pegawai dan anggota JPJ Kedah, AADK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah.
“Sepanjang operasi Julai hingga sekarang, enam pemandu lori dan bas ekspres didapati positif dadah jenis Methapetamine dan kes diserah pada AADK untuk tindakan lanjut.
“Antara tindakan yang akan diambil adalah Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional akan ditahan sehingga siasatan serta tindakan oleh pihak AADK selesai.
“Selain itu, Lesen Vokasional akan digantung selama tempoh tiga bulan, tertakluk kepada peruntukan dan ketetapan yang berkuat kuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

