Pembantu bukan pengganti

Pembantu bukan pengganti

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan AI dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi semakin meluas. Kajian mendedahkan lebih 60 peratus pelajar universiti di rantau Asia Tenggara menggunakan platform berasaskan AI untuk menyiapkan tugasan.

Kajian mendapati tujuh daripada 10 pelajar menggunakan teknologi AI sekurang-kurangnya sekali dalam tugasan akademik mereka.

Namun, statistik yang sama menunjukkan 45 peratus daripada mereka tidak memahami secara mendalam bagaimana AI berfungsi dan hampir 38 peratus menyatakan tidak pasti sama ada melibatkan unsur plagiat.

Ini menimbulkan persoalan tentang tahap literasi digital dalam kalangan pelajar serta cabaran etika dan tanggungjawab kendiri.

Namun, terdapat persoalan penting, adakah AI benar-benar membantu dalam meningkatkan kemenjadian mahasiswa, atau sebaliknya melemahkan proses pembelajaran dan pembinaan sahsiah diri?

Kemenjadian mahasiswa penting untuk membangunkan pelajar daripada aspek ilmu, kemahiran, nilai, sahsiah dan kepemimpinan sepanjang tempoh pengajian mereka. Ia bukan sekadar memperoleh kelulusan akademik, tetapi melibatkan pertumbuhan menyeluruh sebagai insan yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran sebenar selepas bergraduasi. Oleh itu, penilaian kesan teknologi ini terhadap intelektual, etika, emosi dan sosial adalah penting dalam menentukan kemenjadian mahasiswa.

Daripada satu sudut, AI dilihat mampu meningkatkan keupayaan mahasiswa dalam menimba ilmu. Teknologi ini memberi akses kepada maklumat dengan lebih pantas dan meluas. Mahasiswa dapat memahami konsep sukar melalui penerangan interaktif dan boleh bertanya semula jika masih keliru. Dengan bantuan sistem AI, pelajar dapat menjimatkan masa dalam mencari rujukan, menjana idea dan menyusun struktur penulisan. Ini secara tidak langsung mempercepatkan proses pembelajaran dan memperkukuh kefahaman mereka terhadap sesuatu topik.

Selain itu, AI berpotensi menjadi pembantu pembelajaran yang bersifat peribadi. Dengan teknologi ini, pelajar boleh belajar mengikut gaya mereka sendiri, pada masa dan tempat yang mereka pilih.

Pelajar yang menghadapi cabaran pembelajaran tradisional seperti kekangan masa, kesukaran memahami kuliah atau kurang keyakinan untuk bertanya kini mempunyai alternatif yang lebih mesra pengguna.

Namun begitu, kelebihan AI juga datang bersama beberapa kelemahan yang tidak boleh dipandang ringan. Kelemahan utama ialah apabila mahasiswa terlalu bergantung kepada teknologi ini sehingga tidak lagi melalui proses pembelajaran yang sebenar.

Tugasan disiapkan dalam masa singkat, tetapi tanpa nilai pemikiran kritis, analisis sendiri atau kefahaman mendalam.

Kesan lain yang membimbangkan ialah berkaitan integriti akademik. Terdapat kecenderungan untuk menyerahkan hasil tugasan yang sebahagian atau sepenuhnya dijana oleh sistem AI tanpa pengakuan atau semakan. Apabila pelajar lebih mementingkan kelulusan atau gred berbanding proses pembelajaran, maka matlamat pendidikan telah tersasar. Kemenjadian mahasiswa tidak dapat dicapai jika asasnya tidak dibina atas integriti dan usaha sendiri.

Selain aspek intelektual dan etika, penggunaan AI yang berlebihan juga boleh menjejaskan kemahiran insaniah pelajar. Apabila semua penyelesaian datang daripada mesin, pelajar menjadi semakin pasif dan kurang terlibat dalam aktiviti berkumpulan.

AI tidak mampu menggantikan interaksi manusia yang membina hubungan dan jaringan sokongan. Pelajar yang banyak bergantung pada teknologi untuk semua tugasan mungkin berasa kurang keperluan untuk berbincang dengan rakan, menyertai aktiviti kokurikulum atau meminta tunjuk ajar daripada pensyarah.

Dalam hal ini, institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam mengimbangi penggunaan teknologi dan pembinaan jati diri pelajar. Pihak universiti perlu menyediakan garis panduan jelas tentang penggunaan teknologi dalam tugasan dan penilaian. Pensyarah juga perlu mereka bentuk tugasan yang menggalakkan pemikiran kritis, penglibatan lapangan dan pembinaan nilai.

Selain itu, pentaksiran juga perlu dikaji semula agar tidak bergantung semata-mata kepada esei atau laporan yang boleh dijana oleh teknologi. Penilaian lisan, pembentangan, portfolio refleksi, kerja lapangan dan tugasan berkumpulan perlu diperluaskan.

Dengan cara ini, AI akan kekal sebagai pembantu, bukan pengganti kepada proses pembelajaran.

Mahasiswa juga perlu dididik tentang tanggungjawab mereka dalam memanfaatkan teknologi secara beretika. Mereka perlu sedar bahawa kejayaan dalam pengajian bukan semata-mata dinilai daripada segi gred, tetapi juga aspek kemahiran sebenar yang mereka bangunkan. Mereka mesti menggunakan teknologi untuk meningkatkan kefahaman, bukan mengambil jalan pintas untuk menyiapkan tugasan.

Daripada perspektif jangka panjang, mahasiswa yang hanya bergantung kepada teknologi tanpa kemahiran sebenar akan sukar menyesuaikan diri dalam persekitaran pekerjaan yang dinamik dan mencabar.

Sebagai kesimpulan, AI berpotensi besar untuk meningkatkan kemenjadian mahasiswa jika digunakan secara bijak, beretika dan seimbang.

Namun, kebergantungan melampau kepada teknologi ini boleh melemahkan nilai integriti, kemahiran insaniah dan kemenjadian pelajar.

Pelajar, pensyarah dan institusi perlu berganding bahu memastikan teknologi ini pemangkin pendidikan berkualiti, bukannya penghalang pembentukan insan yang holistik.

Penulis pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top