Pembantu gabenor NY disepina dalam siasatan gangguan seksual

Pembantu gabenor NY disepina dalam siasatan gangguan seksual
Andrew Cuomo menolak tekanan untuk meletak jawatan susulan dakwaan gangguan seksual dan salah laku. (Gambar AP)

NEW YORK: Jabatan Peguam Negara New York mengeluarkan sepina kepada berpuluh pegawai di bawah pentadbiran Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam siasatan ke atas dakwaan gangguan seksual, lapor Wall Street Journal pada lewat Jumaat.

Akhbar itu memetik sumber yang tahu perkara itu berkata, pembantu Cuomo, Melissa DeRosa, yang merupakan setiausaha gabenor, antara pegawai yang disepina awal bulan ini.

Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu dengan segera. Jurucakap Cuomo tidak memberi maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mengulas.

Cuomo, 63, menolak tekanan untuk meletak jawatan susulan dakwaan gangguan seksual atau salah laku serta pendedahan berhubung pentadbirannya gagal melaporkan kematian akibat Covid-19 di pusat penjagaan warga emas.

Gabenor itu menafikan sebarang salah laku, walaupun beliau mengakui menjadi “kebiasaan” baginya untuk mencium dan memeluk orang ketika menyapa mereka.

Beliau memohon maaf jika tindakannya itu membuatkan “orang tidak selesa”.