Pembantu kedai makan, juruteknik dapat bekerja dengan Petronas

Pembantu kedai makan, juruteknik dapat bekerja dengan Petronas

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Dua sahabat dahulunya hanya bekerja pembantu kedai makan dan juruteknik syarikat pembinaan tidak menyangka bakal memperoleh pekerjaan selepas menyertai Program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) as Process Technician di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).

Mohamad Adlan Hidayat Mohd Sabri, 25, dari Bandar Cheneh Baru, Kemaman berkata, dia sebelum ini hanya membantu ibunya Normah Abdullah, 53, yang berniaga kedai makan di kampung.

Menurutnya, sebelum ini dia melanjutkan pengajian di sebuah universiti dan mempunyai diploma dalam bidang kejuruteraan penerbangan.

Katanya, memandangkan tidak mendapat pekerjaan dia kemudiannya membantu ibunya berniaga namun dalam masa sama mencari peluang untuk melanjutkan pengajian.

“Alhamdulillah, permohonan saya untuk memasuki INSTEP diterima bagi mendalami ilmu berkaitan minyak dan gas diterima sekali gus impian saya untuk mendapatkan pekerjaan tercapai.

“Selepas tamat program selama 10 bulan di INSTEP, saya ditempatkan di Pusat Pemprosesan Gas Petronas di Paka, Dungun,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Menurutnya yang juga anak yatim selepas kematian bapa, Mohd sabri Hussein akibat penyakit buah pinggang, kencing manis dan jantung lima tahun lalu berkata, dia merupakan harapan buat keluarganya memandang adik-beradik lain hanya bekerja biasa saja.

Katanya, dia sebelum ini tidak mengimpikan dan merasa agak mustahil untuk bekerja dengan sebuah syarikat minyak terkemuka namun rezeki Allah SWT siapa yang tahu.

Rakannya, Muhammad Arif Rusydi, 23, dari Kampung Tepoh, dekat sini pula berkata, dia sebelum ini tidak begitu mengetahui mengenai INSTEP hinggalah diberitahu oleh rakannya.

“Mendapatkan maklumat daripada rakan yang sudah memperoleh kerja melalui Program TEP di INSTEP saya terus membuat permohonan dan berjaya.

“Selesai program selama 10 bulan saya ditawarkan bekerja dengan Petronas,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat pembinaan.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, mendapat pekerjaan di Petronas seperti satu mimpi kerana sebelum ini dia tidak pernah menyimpan hasrat itu.

Terdahulu, seramai 153 graduan INSTEP yang berjaya menamatkan pengajian dalam program TEP diraikan dalam majlis graduasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top