‘Pembebasan’ Syria bakal tempuhi laluan berliku

‘Pembebasan’ Syria bakal tempuhi laluan berliku

– Advertisement –

LAJNAH Hubungan Antarabangsa PAS Pusat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga Syria atas perkembangan terkini yang berlaku berikutan ‘tumbangnya’ pemerintahan rejim Basyar al-Assad yang telah memerintah bumi Syria sejak berlakunya rampasan kuasa yang dilakukan Hafiz al-Assad pada 13 November 1970.

Perubahan yang berlaku di Syria ini menunjukkan bahawa tiada tempat untuk pemerintahan ‘kuku besi’ di kalangan warga Syria dan secara amnya di kalangan umat Islam di mana ia amat bercanggah dengan kaedah pemerintahan yang dianjurkan Islam yang mengharamkan kezaliman dan mewajibkan keadilan untuk semua umat manusia.

Di saat kegembiraan yang disambut dengan penuh kesyukuran berikutan ‘pembebasan’ bumi Syria, dalam masa sama warga Syria perlu berwaspada dengan perancangan licik Imperialisme Barat dan Zionis yang tidak putus asa berusaha untuk menjajah dan memecah belahkan bumi Syria demi untuk agenda jahat dan kepentingan geopolitik mereka di Timur Tengah. 

– Advertisement –

Apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan Libya perlu diambil sebagai pengajaran agar Syria kelak tidak terjerumus dalam kancah perang saudara yang berpanjangan serta dijadikan alat percaturan geopolitik oleh musuh yang bakal mengakibatkan kemusnahan yang lebih besar dengan warga Syria yang tidak berdosa dijadikan korban.

Didoakan agar perkembangan yang berlaku di Syria saat ini akan membawa bumi Anbiya ini ke arah kesejahteraan dan keamanan yang berpanjangan. Mudah-mudahan ia juga akan membuka pintu penyatuan antara Sunni, Syiah, nasionalis Arab, Kurdis dan seluruh umat Islam bagi menentang musuh yang satu iaitu Zionis Israel dan Imperialisme Barat.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

USTAZ DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

Scroll to Top