Pembuat piza kini model di Paris

Pembuat piza kini model di Paris

Paris: Siapa sangka model yang kian meningkat naik di pentas peragaan dan majalah ini sebenarnya pembuat piza.

Nama Christiano Wennmann, 24, tiba-tiba popular dalam dunia peragaan fesyen pada Minggu Fesyen Paris tahun ini.

Dia tampil untuk memperaga rekaan pereka New York Willy Chavarria.

Lelaki itu sedang membuat piza di Scarr’s, di Lower East Side New York, apabila disedari salah seorang pembantu Chavarria, hanya beberapa minggu sebelum acara fesyen besar itu.

Chavarria dan pasukannya segera meminta lelaki itu untuk datang ke Paris. Christiano menerima pelawaan itu selepas menyedari ia peluang sekali seumur hidup.

Kini, Christiano adalah salah seorang model lelaki terhangat dalam dunia peragaan.

Penampilannya di Paris meraih perhatian sehingga dilamar agensi peragaan utama.

Dia juga dapat bekerja dengan pereka seperti Sami Miro dan dipaparkan dalam majalah fesyen terkenal seperti HERO dan Dazed.

Christiano berkata, dia masih bekerja di Scarr’s dan tidak bercadang untuk berhenti kerja dalam masa terdekat.

“Pelanggan selalu perasan bertanya adakah saya lelaki yang ke Paris itu?

“Tetapi saya masih membuat piza. Terbabit dalam dunia model tidak mengubah siapa saya.

“Saya orang yang sama sebelum semua ini berlaku. Sangat penting bagi saya untuk terus berpegang pada diri saya. Saya tidak mahu lupa dari mana asal saya,” katanya kepada The New York Post.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top