Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz mengaku menampung perbelanjaan tiket 40 jemaah umrah yang dianggarkan bernilai RM90,000.
Katanya, tidnakan tersebut dibuat kerana sifat tanggungjawab dan peri kemanusiaan memandangkan sekiranya dia tidak melakukan hal sedemikian, jemaah berkenaan tidak dapat mengerjakan dan melaksanakan ibadah tersebut mengikut waktu yang telah ditetapkan.
“Kalau saya tak belikan tiket dulu, kesemua 40 jemaah tidak dapat pergi umrah.
“Kesemua 40 jemaah itu saya tengok terdiri daripada pakcik dan makcik, kalau saya tak keluarkan duit 40 jemaah ini akan tersangkut macam begitu sahaja,” katanya.
Aaron atau nama penuhnya, Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata demikian ketika ditemui usai majlis Raya Aidil- Fit-Rizz iQIYI yang berlangsung di hotel Equatorial Hotel Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, teraju filem Ombak Rindu ini menjelaskan pihak tersebut juga kini dalam proses membuat bayaran balik kepadanya sekaligus menepis dakwaan kononnya dia ditipu susulan penamatan lantikannya sebagai agensi umrah di Persada Global Sdn Bhd pada 25 Mac lalu.
“Saya tak guna perkataan tipu atau scammer, tapi mungkins alah percaturan kerana umrah ini bukan perniagaan macam pergi bercuti ke Paris atau London.
“Perjalanan umrah ini guna wang yang sangat tinggi.
“Lagipun kejadian ini berlaku sebulan sebelum saya menandatangani kontrak dan mereka kini sedang dalam proses pemulangan (bayara balik) kepada saya,” jelasnya.
Terdahulu, Aaron menerusi hantaran di media sosialnya tampil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap agensi umrah selepas mendakwa dirinya ditipu membabitkan sejumlah besar wang bernilai RM90,000.
Namun, pada Mac lalu, Aaron menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram memaklumkan, penamatan lantikannya adalah berdasarkan keputusan yang dibuat hasil perbincangan secara terbuka dan profesional antara pihak syarikat dan dirinya.