LONDON: Syarikat farmasi menghasilkan vaksin COVID-19 sebahagian besarnya dilindungi undang-undang sekiranya berlaku kesan sampingan berbahaya.
Ini termasuk kesan serius seperti kes pembekuan darah yang dikaitkan dengan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca dan Johnson & Johnson (J&J).
Sementara beberapa kerajaan menyatakan komitmen memberi pampasan kepada mereka yang terkesan, yang lain menganggap itu sebagai tanggungjawab syarikat, biarpun selepas agensi perubatan mengembalikan vaksin.
Pengawal selia perubatan Eropah hari ini menetapkan peraturan keselamatan suntikan dos tunggal vaksin J&J selepas dikhuatiri boleh mengakibatkan pembekuan yang jarang berlaku.
Agensi Perubatan Eropah (EMA) sudah meneliti empat kes, termasuk satu kes maut akibat pembekuan darah yang jarang berlaku dalam kalangan orang yang mengambil suntikan.
AS dan United Kingdom sudah mengehadkan liabiliti undang-undang terhadap kumpulan farmasi, dalam langkah yang dilihat membantu mempercepat pengeluaran vaksin.
Di AS, Akta Kesediaan dan Kesiapsiagaan Umum (PREP) memberi kebenaran kepada setiausaha kesihatan mengehadkan tanggungjawab undang-undang atas kerugian berkaitan perubatan seperti diagnostik, rawatan dan vaksin.
Menurut PREP, ia bertujuan mendorong pengembangan dan penggunaan langkah menangani masalah perubatan dengan cepat bila berlaku darurat kesihatan awam.
Akta itu juga mengehadkan tanggungan individu terhadap eksekutif farmaseutikal, kecuali untuk kematian atau kecederaan fizikal yang serius disebabkan salah laku disengajakan dan sukar dibuktikan.
Di Kanada, pemerintah sedang melaksana skim pampasan nasional untuk sebarang kegagalan perubatan kesan daripada vaksin COVID-19.
Kerajaan Britain sudah mengurangkan beban kewangan untuk syarikat perubatan dengan menerapkan program pampasan bagi penyakit seperti batuk kering, demam campak dan juga untuk COVID-19.
Di bawah skim British, bayaran pampasan kemudaratan akibat vaksin, sekiranya berlaku kecacatan teruk, meningkat kepada £120,000 (RM689,462).
Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Stefan de Keersmaeker, berkata di Kesatuan Eropah (EU), keadaannya berbeza kerana tanggungjawab undang-undang terletak kepada syarikat.
“Namun, dalam keadaan tertentu yang lebih spesifik, syarikat mungkin meminta negara anggota membayar ganti rugi, dengan sebarang perselisihan lain diselesaikan di mahkamah,” katanya.
Menurut seorang peguam, Antonio Andrade, dari syarikat Portugis, Abreu, berkata pembuat vaksin tidak boleh bertanggungjawab atas kemungkinan timbulnya kesan sampingan.
EMA sudah menyatakan bahawa vaksin AstraZeneca dapat menyebabkan pembekuan darah yang sangat jarang berlaku pada beberapa penerimanya, menyebabkan beberapa negara menghentikan pemberiannya kepada individu di bawah usia tertentu. – AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




