Pembukaan semula sekolah diterima baik

Seremban: Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka tahun ini diharapkan dapat mengatasi isu keciciran murid atau pelajar dan menangani isu literasi serta numerasi.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya yakin pembukaan sesi persekolahan dapat meredakan kerisauan ibu bapa mengenai anak mereka belajar di rumah dan yang bakal bakal menduduki peperiksaan tahun ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman kerajaan berhubung tarikh pembukaan semula sekolah untuk sesi belajar secara bersemuka yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai awal bulan depan.

Menurutnya, langkah memulakan operasi persekolahan kepada murid prasekolah dan tahap satu adalah praktikal memandang mereka sukar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Tambahan pula ibu bapa yang bekerja dan tidak dapat membantu mengajar anak masing-masing di rumah,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Ia membabitkan murid prasekolah, tahun satu dan dua akan kembali ke sekolah pada 1 Mac, manakala murid tahun tiga hingga enam pula akan bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah akan mula kembali ke sekolah pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B akan bermula pada 5 April.

Kumpulan B terdiri daripada sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, semua pihak terutama guru, ibu bapa dan murid atau pelajar agar saling bekerjasama untuk memastikan sesi persekolahan itu nanti berjalan dengan baik dalam norma baharu dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua warga guru perlu patuh kepada pekeliling dan garis panduan pelaksanaan pembukaan dan pengoperasian sekolah yang ditetapkan oleh KPM,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mencadangkan agar suntikan vaksin Covid-19 diberikan kepada guru dengan kadar segera demi mengelak jangkitan virus sekali gus menjamin keselamatan serta kesihatan guru dan murid ketika sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP).

Sumber: Harian Metro