Pemegang lesen PSV, GDL yang digantung wajib hadiri kursus pemulihan

Pemegang lesen PSV, GDL yang digantung wajib hadiri kursus pemulihan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemegang Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung akibat kesalahan serius, akan diwajibkan menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen dikembalikan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, inisiatif itu kini dalam peringkat perancangan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan dijangka dilaksana secara rintis bermula November ini.

“Mereka yang digantung lesen tidak boleh memandu kenderaan barangan atau perkhidmatan awam dan wajib hadir kursus pemulihan termasuk latihan praktikal.

“Kursus ini akan menyentuh semula aspek pematuhan peraturan dan keselamatan jalan raya,” katanya pada sidang media selepas sesi Townhall JPJ bersama wakil industri logistik, kenderaan awam dan barangan yang pertama tahun ini yang diadakan di Bangi, hari ini.

Aedy Fadly berkata, penggantungan lesen PSV dan GDL adalah berdasarkan proses penilaian selepas pemandu atau syarikat pengendali diberi notis tunjuk sebab.

“Pengarah JPJ negeri diberi kuasa menilai dan menentukan sama ada lesen berkenaan digantung atau tidak. Tempoh penggantungan juga bukan kekal, ada kategori bergantung kepada kes,” katanya yang memaklumkan kursus pemulihan akan dimulakan di satu atau atau dua lokasi terpilih, sebelum ia diperluas termasuk kepada pemandu lesen biasa yang digantung melalui sistem KEJARA.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan cadangan JPJ untuk memperkenalkan kursus lanjutan pemanduan khas untuk pemandu kenderaan berat sebagai sebahagian usaha memperkukuh disiplin di jalan raya.

Katanya, pendekatan ini dibuat selepas pihaknya melihat ramai pemandu tidak mengikuti latihan lanjutan selepas mendapatkan lesen vokasional.

“Ramai pemandu PSV dan GDL terus memandu sebaik mendapat lesen tanpa ada latihan berkala. Kursus ini bukan sekadar hukuman, tapi untuk ingatkan semula tanggungjawab mereka,” katanya.

Mengenai sistem KEJARA, katanya, rombakan besar-besaran sistem itu dalam peringkat akhir penilaian sebelum ia dikemukakan semula kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).

Katanya, ia sebelum ini sudah dua kali dibentang kepada menteri bertanggungjawab dan terdapat beberapa pindaan kaedah mata demerit yang perlu diteliti kerana membabitkan perundangan, serta memakan masa.

“Objektif utama keseluruhan usaha ini adalah meningkatkan pematuhan undang-undang, mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak dibenarkan berada di jalan raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top