am@hmetro.com.my
Kluang: “Alhamdulillah selama 40 tahun menanti akhirnya benda ini (gerak hak milik) ada dalam tangan kami,” kata Jamal Kasman, 73, dan isteri Zaliha Sulaiman, 71.
Terpancar jelas kegembiraan di wajah pasangan warga emas berasal dari Felda Kahang Timur selepas terpilih antara 210 daripada 27,639 peneroka yang menerima geran Hak Milik Peneroka Felda hari ini.
Menurut Jamal, dia bersama isterinya sangat bersyukur kerana tempoh penantian yang terlalu lama bagi mendapatkan milikan itu akhirnya tertunai.
“Saya dan isteri mengidamkan hak milik sendiri, sudah lama kami menunggu. Kami usahakan ladang sawit berpuluh tahun, malah pernah merasai kesusahan membesarkan enam anak.
“Kehidupan waktu itu amat sukar dan mencabar namun berkat kesabaran, akhirnya doa saya dimakbulkan. Inilah saat paling gembira saya mahu kongsikan bersama kesemua anak,” katanya ketika ditemui.
Bagi pasangan peneroka Felda Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, Hosman Hasim, 67, dan Saodah Sanami, 61, mereka sudah banyak kali membuat permohonan milikan namun tidak dapati diselesaikan.
Katanya, permohonan mereka akhirnya diluluskan selepas beberapa kali mengemukakan rayuan.
“Kami sudah lama menanti… bayangkan kita usahakan hasil tapi geran belum pasti milik kami. Kami sudah lama usahakan ladang sawit malah tidak senang duduk selagi belum dapat hitam putih,” katanya.
Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini hari ini.
Hadir sama, EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.
© New Straits Times Press (M) Bhd




