Pemeriksaan secara berkala cegah awal sakit jantung

Pemeriksaan secara berkala cegah awal sakit jantung

Kuala Lumpur : Pencegahan awal sangat penting bagi masyarakat untuk mengelak penyakit jantung yang kritikal.

Bahkan mempunyai kesedaran tinggi untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala adalah langkah yang baik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Akmal Arief Mohamed Fauz berkata, ramai yang menyedari mengenai gaya hidup sihat namun untuk mengamalkannya secara konsisten masih menjadi cabaran buat mereka.

Menurutnya, kesedaran, pendidikan dan sokongan komuniti kini memainkan peranan dalam mengurangkan kematian akibat penyakit kardiovaskular itu.

“Kesedaran orang ramai dan amalan gaya hidup sihat amat penting kerana penyakit jantung masih antara pembunuh utama di Malaysia dan juga di rantau Asia Tenggara.

“Sebagai sebuah institusi yang berkait rapat dengan jantung, peranan kami bukan sekadar menyediakan rawatan terbaik malah menawarkan aspek pendidikan dan langkah pencegahan dari awal,” katanya sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 di The Curve Mutiara Damansara bermula 24 September lalu.

Lebih 1,000 pengunjung hadir dalam program yang dianjurkan selama lima hari bertemakan ‘It’s Not Just A Game, It’s About Your Heart,” itu dengan sokongan rakan strategik seperti Blackmores, Nestle Omega Plus, Ogawa dan Mamee.

Bagi menggalakkan kesedaran orang ramai, IJN mengadakan program pemeriksaan jantung bagi membolehkan pengunjung menjalani pemeriksaan Electrocardiogram (ECG) dan Echocardiogram (ECHO) secara percuma dengan bimbingan pakar IJN menerusi program berkenaan.

Selain itu, pengunjung turut diberi tunjuk ajar demonstrasi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), cabaran kecergasan, zumba dan Red Light Green Light serta pertandingan memasak sihat melali Wholesome Meal Challange.

Mengulas lanjut, Akmal Arief turut mengakui amalan merokok, diet tidak seimbang dan kurang melakukan aktiviti fizikal memerlukan masa berterusan untuk melakukan perubahan secara konsisten.

Tambahnya, IJN turut menawarkan klinik berhenti merokok dan program pemakanan sihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu masyarakat memulakan inisiatif tetapi bermakna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top