Pemilik Kelantan FC saman KAFA RM3.93 juta

Pemilik Kelantan FC saman KAFA RM3.93 juta

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyaman Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) susulan kegagalan persatuan membayar hutangnya sebanyak RM3.93 juta.

Menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, perkara itu terpaksa didedahkan selepas mendapat banyak pertanyaan daripada orang ramai.

“Saya sebenarnya nak diamkan sahaja, tapi selepas ramai yang tanya, maka memang benar saya saman KAFA kerana gagal bayar hutang sebanyak RM3.93 juta.

“Asal hutang KAFA RM3.8 juta, naik ke RM3.93 juta sebab KAFA minta tambahan pinjaman. Tapi setakat hari ini satu sen pun belum pulang ke saya,” tulisnya.

Zamsaham sebelum ini dilaporkan membayar RM6.8 juta ketika proses mengambil alih pasukan The Red Warriors (TRW) dari KAFA pada September 2020.

Menurut laporan, jumlah itu membabitkan RM3 juta bagi pembelian Kelantan FC dan RM3.8 juta lagi adalah pinjaman kepada KAFA bagi menyelesaikan hutang kepada pemain dan agensi tertentu. – MalaysiaGazette