Istanbul: Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei berada dalam ‘keadaan sihat sepenuhnya’.
Beliau mengalami kecederaan dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas kompleks pejabat kepimpinan Iran pada hari pertama perang awal tahun ini, menurut seorang pegawai kanan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kenyataan itu merupakan kenyataan pertama yang memperincikan keadaan kesihatan pemimpin agung berkenaan serta situasi yang dihadapinya semasa serangan ketika perang.
Menurut Agensi Berita Fars Iran, Ketua Pengarah Protokol di pejabat pemimpin agung, Mazaher Hosseini berkata Mojtaba Khamenei mengalami kecederaan semasa serangan yang menyasarkan kompleks itu pada 28 Februari lepas, ketika pemilihannya sebagai pemimpin agung masih belum diputuskan.
Hosseini berkata beliau berada di kompleks berkenaan ketika serangan berlaku dan menambah beberapa lokasi berhampiran turut menjadi sasaran serangan, termasuk tempat beberapa pegawai kanan Iran.
Antaranya Ali Khamenei, pemimpin agung ketika itu yang juga bapa kepada Mojtaba Khamenei, terkorban, lapor Fars lewat Jumaat.
Hosseini menambah Mojtaba Khamenei tidak berada di kawasan tempat beliau biasanya menyampaikan syarahan ketika serangan berlaku, sambil memaklumkan lokasi itu kemudiannya ‘musnah’ dalam pengeboman berkenaan.
Pegawai itu turut berkata kediaman Khamenei juga menjadi sasaran serangan, dengan isterinya dan beberapa individu lain terkorban dalam serangan itu.
Beliau berkata Mojtaba Khamenei terjatuh ke tanah akibat gelombang letupan ketika menuju ke kediaman itu dan mengalami kecederaan pada tempurung lutut serta bahagian bawah belakang badan.
“Kecederaan belakangnya semakin pulih dalam tempoh ini dan kecederaan pada tempurung lutut juga akan sembuh tidak lama lagi.
“Beliau berada dalam keadaan sihat sepenuhnya,” kata Hosseini menurut Fars.
Beliau turut menepis spekulasi mengenai kecederaan pada dahi Khamenei dengan menyatakan hanya terdapat ‘kecederaan kecil di belakang telinga’ dan ia sudah dirawat.
Hosseini mengakhiri kenyataannya dengan berkata musuh Iran sedang cuba mendapatkan rakaman audio, video atau bahan lain berkaitan Khamenei ‘untuk mengambil tindakan terhadapnya’, sambil menambah beliau akan berucap kepada rakyat pada ‘masa yang sesuai’.
Mojtaba Khamenei dipilih sebagai pemimpin agung pada 9 Mac selepas bapanya Ali Khamenei maut dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari.
Sejak memegang jawatan itu, beliau hanya berkomunikasi menerusi kenyataan bertulis.
Ketegangan serantau meningkat selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, sekali gus mencetuskan serangan balas oleh Tehran serta gangguan di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas global.
Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April lepas menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan pusingan pertama di Islamabad pada 11 April gagal mencapai perjanjian berkekalan.
Gencatan itu kemudian dilanjutkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tanpa tempoh akhir ditetapkan.
Sejak 13 April, AS melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan strategik itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




