Pemimpin muda suntik nafas baharu bola sepak tempatan

Pemimpin muda suntik nafas baharu bola sepak tempatan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehadiran beberapa tokoh muda dalam pengurusan bola sepak tampak positif dengan individu-individu berkenaan berani membuat perubahan sejajar dengan landskap bola sepak moden masa kini.

Selepas Syed Yazid Syed Omar dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang berjaya melakukan perubahan, kini seorang lagi anak muda iaitu Faliq Firdaus tampil dengan perubahan dalam sistem bola sepak di Negeri Sembilan.

Faliq yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC (NSFC) mengakui pihaknya bakal melancarkan Liga Premier Negeri Sembilan buat julung kalinya bermula Mac tahun hadapan.

Katanya, liga berkenaan berjaya menarik minat hampir 27 pasukan dan turut mendapat sokongan kuat Pejabat Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, di mana liga ini disasarkan jadi flagship tournament di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

“NSFC dan PBNS telah capai kata sepakat dalam pembahagian tugas membangunkan bola sepak profesional dan amatur di Negeri Sembilan.

“NSFC akan fokus kepada pembentukan bakat hingga ke tahap profesional (Liga Super) manakala PBNS akan fokus kepada kejohanan dan program pembangunan bermula 2026,” katanya.

Jelasnya lagi, kemunculan liga ini bakal merancakkan lagi pembangunan bola sepak di Negeri Sembilan khususnya dan negara ini secara amnya.

“Banyak spillover effect bila ada struktur liga sebegini setiap tahun. Sebagai contoh, apabila setiap pasukan boleh daftar seorang pemain import (umur 18-23 tahun), ini akan buka pasaran satu dunia kepada Negeri Sembilan. Kolej atau universiti akan mula tawar pengajian dan main bola di NS (Negeri Sembilan).

“Manakala, NSFC pula boleh scout mana import-import murah di Liga Premier NS untuk dibentuk.

“Pasukan-pasukan Liga Premier NS juga akan diberikan didikan mengenai sistem MyPas FAM, bermaksud setiap pemain yang akan bermain akan ada lesen pemain. Bila ada lesen, maka akan ada jual beli. Apapun ia bergantung sama ada kelab berstatus pro atau amatur.

“Platform harus disediakan di peringkat amatur. Seharusnya lebih banyak kelab semi-pro dan pro muncul dari Negeri Sembilan,” katanya.

Kehadiran pemimpin muda dalam bola sepak ketika ini menandakan negara tidak pernah ketandusan calon baharu yang lebih segar bagi menggantikan ‘orang lama’ yang dilihat ketandusan idea.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top