Peminat Minta Tukar Tarikh Konsert Kerana Final Piala Malaysia, Ini Jawapan Amy Search

Peminat Minta Tukar Tarikh Konsert Kerana Final Piala Malaysia, Ini Jawapan Amy Search

Seorang peminat mencadangkan agar penyanyi legenda, Datuk Amy Search, menukar tarikh konsert solo pertamanya kerana ia dijadualkan berlangsung pada hari yang sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.

Aksi final itu akan berlangsung pada 26 April depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Konsert Amy Search Magic First Solo Concert pula akan diadakan di Axiata Arena yang terletak bersebelahan dengan stadium berkenaan, menyebabkan sesetengah peminat berbelah bahagi untuk memilih antara kedua-dua acara tersebut.

Namun, Amy kekal tenang ketika menjawab permintaan itu.

Dengan nada bergurau, penyanyi kelahiran Johor Bahru itu memohon agar peminat tidak perlu menonton perlawanan kerana keputusan sudah boleh dijangka.

“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” seloroh Amy kepada pengikutnya.

Terhibur dengan jawapan Amy, peminat tersebut bersetuju dan menyatakan kesediaannya untuk menghadiri konsert solo penyanyi lagenda itu, meskipun terpaksa melepaskan peluang menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia.

“Terbaik Datuk. Betul juga. Baiklah, saya ‘on’ konsert Amy,” tulisnya.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia, dengan aksi antara JDT dan Sri Pahang FC kini ditetapkan berlangsung pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Untuk rekod, selepas 44 tahun dalam industri seni, Amy akhirnya bakal tampil dengan konsert solonya yang pertama, Amy Search Magic First Solo Concert, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada tarikh sama.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, menyifatkan konsert ini sebagai satu detik bersejarah dalam kariernya selepas lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia muzik.

Tiket bagi konsert itu telah mula dijual sejak 5 Februari lalu menerusi laman web www.wowtix.com.my

Scroll to Top