Peminat saman Madonna, penganjur tak tepati masa

Peminat saman Madonna, penganjur tak tepati masa

Los Angeles: Satu saman difailkan terhadap penyanyi yang mendapat gelaran Ratu Pop, Madonna oleh dua peminatnya, kerana tidak menepati masa saat memulakan konsert Celebration Tour di Barclays Center, Brooklyn. Berdasarkan dokumen mahkamah, Madonna, 65, dituduh sebagai menyebarkan pengiklanan palsu (false advertising) kerana memulakan konsert yang berlangsung pada 13 Disember lalu itu, lewat dua jam.

Dua plaintif yang memfailkan saman terhadapnya mendakwa, konsert itu dimulakan pada jam 10.30 malam, sedangkan, jadual asal yang terpapar di dalam tiket dan iklan adalah 8.30 malam.

Tidak hanya itu, kedua-dua plaintif juga mendakwa, kesalahan sama turut berulang pada 14 dan 16 Disember.

Antara perkara yang disebut di dalam saman yang difailkan itu adalah, tindakan sewenang-wenangnya dilakukan dalam pengiklanan palsu, kecuaian dalam salah tafsir, dan amalan perdagangan yang tidak adil.

Aduan itu juga menyatakan bahawa kedua peminat itu tidak akan membayar untuk tiket jika mereka mengetahui tentang waktu mula dan ramai pemegang tiket yang menghadiri konsert pada malam hari bekerja terpaksa bangun awal untuk pergi bekerja dan/atau menjaga tanggungjawab keluarga pada hari berikutnya.

Kedua plaintif juga mengemukakan, seperti yang dinyatakan dalam permohonan, bahawa penonton konsert menghadapi masalah pengangkutan awam yang terhad, perkhidmatan berkongsi perjalanan yang terhad, dan/atau kos pengangkutan awam dan persendirian yang meningkat pada waktu lewat ketika mereka meninggalkan lokasi konsert selepas jam 1 pagi.

Mereka kini sedang menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan jumlahnya. Wakil Madonna bagaimanapun belum memberikan komen mengenai tuntutan ini.

Saman itu juga turut difailkan terhadap penganjur, Live Nation serta lokasi konsert, Barclays Center.

© New Straits Times Press (M) Bhd