am@hmetro.com.my
Klang: Individu atau pihak yang melabel Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, sebagai seorang yang kejam serta pembunuh anjing diminta membuat permohonan maaf.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihaknya mengenalpasti beberapa individu termasuk pempengaruh sebagai antara pihak yang membuat hantaran mengaibkan Muhammad Shah Idham sehingga mendatangkan ancaman terhadap keselamatan pemuda itu.
Katanya, berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di mahkamah, ia jelas tidak menyatakan istilah membunuh, menyeksa atau memukul dengan kuat sehingga menyebabkan kematian.
“Kita dalam proses, ramai orang sebenarnya yang telah menulis pelbagai perkara dengan mereka ini daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang duduk dalam Parlimen, sekarang tidak duduk lagi pun ada juga,” katanya pada sidang media di pekarangan Mahkamah Klang, hari ini.
Ketika ditanya sama ada mereka yang membuat permohonan maaf akan dikecualikan daripada tindakan saman, Muhammad Rafique berkata, ia bergantung kepada jenis permohonan maaf yang dibuat.
“…sebab bila mereka bercakap, membuat kenyataan atau menulis, kesannya bukan kepada diri mereka sebaliknya kepada Shah dan keluarga selain rakan-rakannya malah penduduk kawasan itu dari segi ancaman keselamatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya belum mendapat sebarang perkembangan berhubung laporan polis yang dibuat sebelum ini berkaitan ancaman terhadap Muhammad Shah.
“Ingin ditegaskan bahawa Shah bukan kakitangan daripada mana-mana jabatan. Dia tidak bekerja dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), sebaliknya seorang sukarelawan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Shah Idham dan wanita yang didakwa sebagai pemilik anjing Rocky, S Roghini Devi, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Shah Idham didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung (loop) sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.
Manakala, Roghini didakwa secara tidak munasabah menarik anjing sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.
Media sebelum ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan membabitkan kematian seekor anjing semasa operasi tangkapan haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, pada 29 Julai lalu.
Siasatan susulan kejadian itu dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, anjing berkenaan disahkan mati dalam kejadian pada 10.50 malam di hadapan sebuah rumah di lokasi berkenaan.
Bangkai haiwan itu kemudian dihantar ke Jabatan Veterinar Selangor bagi proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
