lokman.khairi@hmetro.com.my
Gombak: Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah, di sini, yang bernilai RM2.1 bilion disasarkan siap sepenuhnya pada 2029.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek sepanjang 45.3 kilometer itu membabitkan pelebaran tiga kepada empat lorong dari Plaza Tol Gombak hingga Genting Sempah, manakala dari Genting Sempah hingga Persimpangan Mempaga, Bentong ditambah daripada dua kepada tiga lorong .
Menurutnya, kerja fizikal sudah bermula pada 9 Mac lalu selaras dengan tarikh mula pembinaan (CCD) yang diluluskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Dalam kontrak kita bersama syarikat konsesi lebuh raya, Kumpulan AFA, ia dijangka siap dalam empat tahun iaitu 2030, tapi sebentar tadi kita diberi jaminan oleh AFA boleh siap pada 2029.
“Itu sangat membanggakan kerana ia ‘ahead of time‘ (lebih awal daripada jadual).
“Kita tahu betapa pentingnya projek ini untuk kita menangani masalah kesesakan dan juga keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya antara Lembah Klang ke Pantai Timur,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Projek Pelebaran Lebuhraya KLK di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Pengerusi Kumpulan AFA, Tan Sri Azmil Khalid.
Dalam pada itu, Alexander berkata, terowong baharu sepanjang 999 meter akan dibina di Genting Sempah menggunakan kaedah New Austrian Tunnelling Method (NATM).
“Terowong baharu ini akan beroperasi bersama terowong Arah Barat yang dibuka pada 1978 serta terowong Arah Timur yang dibuka pada 1996.
“Dengan siapnya projek ini nanti, memang sangat membantu menampung pertambahan trafik di lebuh raya ini yang merekodkan purata lebih 135,000 kenderaan sehari sekarang, berbanding sekitar 41,000 kenderaan pada 1997,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
