Pempengaruh permotoran antara 8 direman tutup lebuh raya Linkedua untuk lumba haram

Pempengaruh permotoran antara 8 direman tutup lebuh raya Linkedua untuk lumba haram

Seorang pempengaruh permotoran antara lapan individu yang direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian menutup laluan di Lebuhraya Linkedua, Sabtu lalu, dipercayai untuk membolehkan perlumbaan motosikal secara haram dijalankan.

Pempengaruh permotoran antara 8 direman tutup lebuh raya Linkedua untuk lumba haram

Memetik laporan Harian Metro, perintah reman terhadap kesemua suspek, yang bermula hari ini sehingga Khamis, dikeluarkan Majistret R Salini selepas membenarkan permohonan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 45 tahun tiba di perkarangan Mahkamah Kulai pada kira-kira jam 8.30 pagi dengan menaiki trak polis.

Bagi mengelak wajah mereka dirakam, semua suspek dilihat memakai topeng, manakala dua daripada mereka turut mengenakan ‘hoodie’.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua individu terbabit ditahan pada jam 11.54 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Penahanan itu dibuat susulan penularan sebuah video berdurasi 33 saat yang memaparkan aksi dua penunggang motosikal dipercayai berlumba secara haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku di antara Kilometer 33, susur Tol Senai Utara hingga Kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO).

Lebih mengejutkan, rakaman tersebut turut menunjukkan beberapa individu berada di laluan lebuh raya dan bertindak ‘menutup’ jalan bagi memberi ruang kepada dua penunggang motosikal terbabit meneruskan perlumbaan.

Selepas perlumbaan berakhir, beberapa individu dilihat berada di bahu jalan, termasuk pempengaruh permotoran berkenaan.

Artikel lain: Puluhan mat rempit berlumba di highway, seorang ‘hilang nyawa’ 9 lagi cedera

Rakaman itu turut memaparkan aksi suspek membakar mercun sebagai tanda meraikan tamatnya perlumbaan, sekali gus mencetuskan perhatian orang ramai selepas video berkenaan tular di media sosial.

Siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap individu dalam kejadian berkenaan serta tindakan yang boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Scroll to Top