Acara besar antarabangsa, apa manfaat kepada PMKS?

PENGANJURAN acara antarabangsa berskala besar bukan sekadar membawa masuk ribuan pelawat atau merancakkan sektor pelancongan, malah boleh membawa limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor perniagaan tempatan.

Namun, sejauh mana manfaat itu sampai kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) atau sekadar tertumpu kepada pemain industri besar yang mempunyai kapasiti, jaringan dan sumber kewangan untuk menguasai kontrak utama?

Pada separuh pertama 2026, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) menerajui 194 acara perniagaan di seluruh negara yang menarik lebih 341,000 delegasi dan menjana Anggaran Impak Ekonomi (EEI) sebanyak RM1.81 bilion.

Sehingga 30 Jun 2026, MyCEB turut memperoleh 416 acara perniagaan yang akan berlangsung antara 2026 hingga 2030, dengan unjuran EEI sebanyak RM8.27 bilion.

Angka berkenaan jelas menunjukkan potensi besar ekonomi acara kepada Malaysia. Namun, nilai impak ekonomi yang tinggi tidak semestinya bermakna manfaatnya diagihkan secara sama rata kepada semua pemain dalam ekosistem.

Pensyarah Pengurusan Acara, Salsabila Ramadita, berkata, pemain besar seperti venue, kumpulan hotel, syarikat penerbangan, penganjur acara dan syarikat produksi lazimnya berada pada kedudukan lebih baik untuk mendapatkan kontrak utama.

Menurutnya, ini kerana mereka mempunyai kapasiti operasi, akreditasi, rangkaian perniagaan dan sumber kewangan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan acara berskala besar.

“PMKS pula lebih banyak terlibat melalui perbelanjaan pelawat serta sebagai pembekal dalam bidang seperti makanan dan minuman (F&B), pengangkutan, percetakan, barangan cenderamata, perkhidmatan kreatif, tenaga kerja sementara, produk tempatan dan pengalaman kebudayaan,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Dalam konteks ekonomi Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan PMKS menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan merangkumi 48.7 peratus daripada guna tenaga negara pada 2025.

Pada masa sama, hampir 1.3 juta PMKS membentuk sekitar 96 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan.

Namun, angka tersebut lebih mencerminkan kepentingan PMKS kepada ekonomi negara dan tidak semestinya membuktikan bahawa mereka menerima bahagian yang sepadan daripada perbelanjaan acara antarabangsa.

“Hakikatnya, syarat mendapatkan kontrak berskala besar boleh menjadi penghalang kepada sebahagian PMKS, terutama apabila tender menetapkan keperluan seperti bon prestasi, insurans dan rekod pengalaman minimum.

“Justeru, persoalan yang lebih penting bukan sekadar berapa besar nilai ekonomi yang dijana oleh sesuatu acara, tetapi siapa yang mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Tambah beliau, manfaat kepada PMKS bergantung pada sejauh mana mereka diintegrasikan ke dalam rantaian bekalan acara dan jumlah perbelanjaan pelawat yang berjaya dikekalkan dalam ekonomi tempatan.

“Sebagai contoh, konsert Coldplay pada 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil menarik kira-kira 75,000 penonton. Pada hari tersebut, dilaporkan sekitar 86,000 perjalanan penumpang direkodkan melalui stesen LRT Bukit Jalil, berbanding 3,000 hingga 4,000 perjalanan pada hari biasa.

“Peningkatan aktiviti sebegini membuka ruang kepada perniagaan tempatan melalui F&B, pengangkutan, peruncitan dan pelbagai perkhidmatan sokongan,” katanya.

Salsabila berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai asas kukuh untuk memperluaskan penyertaan PMKS dalam ekonomi acara, termasuk melalui infrastruktur, sektor hospitaliti, pengangkutan, pengusaha pelancongan, perniagaan kreatif, pembekal F&B dan pengusaha kraf tempatan.

Namun, peluang itu perlu diterjemahkan kepada penyertaan yang lebih tersusun melalui pendaftaran vendor secara telus, padanan pembekal lebih awal, kontrak yang bersesuaian dengan skala PMKS serta terma pembayaran yang tepat pada masanya.

“Peluang juga boleh diperluaskan dengan memasukkan makanan tempatan, kraftangan, barangan cenderamata, persembahan kebudayaan dan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti dalam program acara.

“Ketika Malaysia melangkah ke Visit Malaysia 2026, ukuran kejayaan tidak seharusnya berhenti pada jumlah pelawat atau nilai impak ekonomi,” katanya.

Lebih penting, perlu dilihat berapa banyak PMKS yang terlibat, nilai kontrak yang diberikan kepada mereka dan sejauh mana manfaat ekonomi itu tersebar kepada komuniti tempatan.

“Tanpa ukuran tersebut, acara besar berisiko hanya menjadi medan keuntungan pemain industri utama, sedangkan PMKS tempatan sekadar menjadi penonton kepada limpahan ekonomi yang sepatutnya turut mereka nikmati,” katanya.

Scroll to Top