am@hmetro.com.my
Kangar: Seorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun 10 bulan di sebuah bilik di Taman Kangar, di sini, kira-kira jam 3.10 pagi, 17 Jun lalu.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, serta boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Ahmad Poad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes berkenaan selesai.
Hakim menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 13 Julai lalu, seorang pempengaruh terkenal ditahan polis selepas disyaki merogol dan merakam gambar lucah mangsa di sebuah rumah sewa di Taman Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilapor berkata, suspek ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa berhubung kejadian terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




