Haaland sahut pelawaan Spider-Man

Haaland sahut pelawaan Spider-Man

London: Erling Haaland akhirnya menyahut pelawaan pelakon terkenal Hollywood, Tom Holland selepas sebelum ini dilaporkan tidak membalas mesej yang dihantar bintang filem Spider-Man itu menerusi Instagram.

Penyerang Norway berusia 25 tahun itu memberikan respons beberapa hari selepas Holland mendedahkan dalam rancangan The Tonight Show Starring Jimmy Fallon pada 13 Julai lalu Haaland tidak pernah membalas mesej yang dihantarnya.

Kelmarin, Haaland meninggalkan komen di klip temu bual Holland yang dimuat naik di Instagram dengan menulis: “Pelawaan makan malam diterima @tomholland2013. Agak lambat sedikit. Cuma beritahu lokasinya!”

Pelakon berusia 30 tahun itu sebelum ini mengakui kepada Fallon dia menghantar mesej kepada Haaland selepas pengacara berkenaan menunjukkan satu hantaran di platform X yang mendakwa pemain bola sepak itu tidak mengetahui siapa dirinya.

Apabila ditanya sama ada perkara itu benar, Holland menjawab: “Ya dan saya rasa itu pengalaman yang merendahkan ego, sesuatu yang penting untuk pelakon.

“Kadang-kadang kita fikir, ‘Saya akan mesej dia, saya akan belanja dia makan malam’, tetapi langsung tiada balasan, tiada alasan, tiada mesej mengatakan dia sibuk bermain bola sepak. Tiada apa-apa.”

Holland berkata dia terdorong untuk menghubungi Haaland selepas melihat pemain itu ketika Grand Prix Formula Satu Monaco pada Jun lalu.

“Saya sedang menyaksikan Lewis Hamilton berlumba dan saya nampak dia.

“Dia berada di ruang hospitaliti bertentangan dengan saya dan saya fikir, apa salahnya mencuba. Jadi saya hantar mesej kepadanya.”

Pelakon filem The Odyssey itu turut berseloroh dia tidak pernah menyangka kisah berkenaan akan diceritakan dalam siaran televisyen secara langsung.

Holland juga bergurau Haaland mungkin tidak mahu makan malam dengannya selepas England menewaskan Norway pada suku akhir Piala Dunia.

Haaland menjadi antara pemain paling mendapat perhatian sepanjang kempen Norway di Piala Dunia 2026, menyebabkan ramai selebriti turut mengikuti perkembangan pemain itu.

Malah pelakon terkenal Channing Tatum pernah hadir ke stadium dengan memakai rambut palsu yang diinspirasikan daripada gaya Haaland.

Selain aksi cemerlang di padang, Haaland turut tular kerana koleksi beg tangan mewah Hermes miliknya, pengalamannya menyesuaikan diri dengan budaya di Dallas, mengetuai sorakan ala Viking bersama penyokong dan pulang ke Norway dengan membawa seekor rakun yang diawet.

Selepas Norway tersingkir pada 11 Julai lalu, Haaland memuat naik gambar swafoto di Instagram dengan kapsyen: “Selamat tinggal Amerika Syarikat. Ia satu perjalanan yang penuh emosi.”

Sekembalinya ke Eropah, Haaland dan teman wanitanya, Isabel Haugseng Johansen turut mencuri perhatian apabila tampil bergaya sedondon pada acara pertunjukan Dolce & Gabbana Alta Sartoria.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top