KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan polis kerana disyaki merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik kandungnya yang kini berusia 16 tahun, sejak mangsa berumur 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada pukul 12.51 tengah hari semalam.
Katanya, mangsa mendakwa kejadian amang seksual fizikal terbaharu berlaku kira-kira pukul 9 malam pada 21 Jun lalu ketika berada di rumah di sini.
“Mangsa mendakwa abang kandungnya telah melakukan amang seksual fizikal terhadapnya. Mangsa turut mendakwa suspek beberapa kali merogolnya sejak dia berusia 10 tahun sehingga kini,” katanya hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan tersebut, polis menahan suspek bagi membantu siasatan dan permohonan tahanan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Azli berkata, sebanyak 14 kertas siasatan membabitkan kes seksual dibuka Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu sepanjang tempoh 1 Jun hingga 22 Jun lalu. – UTUSAN




