KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Pusat meluluskan usul supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu dikekalkan untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, keputusan itu termasuk jika bekerjasama dengan mana-mana parti.
Katanya, usul yang dibentangkan perwakilan Pemuda Pas Padang Terap, Kedah itu dan diterima sebulat suara tanpa bahas.
“Ia bagi memelihara amanah serta keyakinan pengundi yang memilih PAS sebagai wakil mereka, selain menjadi dasar dan prinsip utama Pas dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi bersama parti gabungan,” katanya pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke 67 di sini hari ini.
Selain itu, Khairul Nadzir memberitahu, tiga usul penting merangkumi isu integriti, politik Melayu-Islam dan pemerkasaan ekonomi usahawan tempatan turut diluluskan sebulat suara untuk dibawa ke peringkat perbahasan seterusnya.
Katanya, usul pertama mendesak kerajaan Malaysia menyegerakan pembukaan kertas siasatan serta menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara bebas, telus dan menyeluruh dakwaan kewujudan jaringan ‘mafia korporat’ yang melibatkan Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkepentingan serta projek berkaitan kerajaan.
“Turut diluluskan usul memperkasakan agenda penyatuan ummah digerakkan secara tuntas, strategik dan segera sebagai agenda nasional bagi memperkukuh kesatuan serta representasi politik Melayu-Islam di Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Sebagai langkah awal, satu Himpunan Penyatuan Ummah berskala besar hendaklah digerakkan sebelum PRU bagi menghimpunkan kekuatan umat, membina momentum kebersamaan dan menterjemahkan aspirasi penyatuan kepada suatu gerakan rakyat yang tersusun dan berimpak,” ujarnya.
Khairul Nadzir berkata, muktamar turut meluluskan usul mendesak kerajaan Malaysia memperkenalkan kerangka kawal selia e-dagang yang lebih tegas bagi melindungi dan memperkasa daya saing usahawan tempatan daripada persaingan tidak adil, termasuk lambakan produk luar dan tiruan, amalan predatory pricing, beban di platform serta kelemahan perlindungan terhadap produk dan jenama tempatan. –UTUSAN

