am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 123 warga asing dan enam warga tempatan menerusi serbuan di beberapa premis di sekitar bandar raya ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi membabitkan sepasukan pegawai bahagian penguat kuasa negeri bermula kelmarin, hingga jam 2 petang semalam.
Menurutnya, operasi dijalankan di 21 lokasi termasuk membabitkan kedai makan, pusat servis dan baik pulih kenderaan, pusat dobi, kedai aksesori kenderaan serta pusat refleksologi.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 47 lelaki warga Myanmar, lima lelaki Bangladesh, 10 lelaki Indonesia, lima lelaki Pakistan, enam lelaki Nepal dan seorang lelaki warga China.
“Turut ditahan seorang wanita Vietnam, 14 wanita Indonesia, 27 wanita Myanmar dan tujuh wanita warga China,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia 20 tahun hingga 50 tahun dan bekerja sebagai tukang masak, tukang urut dan pelayan serta pelanggan di premis terbabit.
Menurutnya, semua yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd

