Pen kurus 'racun'

Pen kurus 'racun'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesan sampingan seperti loya, muntah, cirit-birit dan sembelit selain risiko lebih serius termasuk radang pankreas, masalah pundi hempedu serta risiko tumor tiroid yang dilaporkan dalam kajian haiwan.

Itu kesan ubat penurunan berat badan Retatrutide atau RETA yang dijual secara berleluasa secara atas talian.

Ubat berkenaan sebenarnya masih dalam peringkat kajian dan belum disahkan selamat untuk digunakan.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan iklan suntikan ‘pen kurus’ yang dipercayai kemungkinan besar diperoleh dari pasaran gelap kerana boleh mengakibatkan kesan kesihatan serius.

Pakar perubatan estetik, Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh berkata, RETA adalah sejenis ubat suntikan yang sedang dikaji untuk rawatan obesiti dan masih berada pada peringkat kajian klinikal Fasa 3.

Menurutnya, setakat ini RETA belum diluluskan oleh mana-mana pihak berkuasa perubatan termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini bermakna profil keselamatan ubat ini untuk kegunaan umum masih belum disahkan sepenuhnya oleh saintis dan kesan jangka panjangnya juga belum diketahui.

“Oleh sebab ia belum berdaftar dengan NPRA serta tidak mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label hologram KKM, penjualan, pengedaran serta penggunaannya di Malaysia ketika ini adalah menyalahi undang-undang.

“Sebarang produk RETA yang dijual secara dalam talian ketika ini bukan ubat farmaseutikal terkawal, sebaliknya berkemungkinan besar adalah produk ‘research chemical’ yang tidak terjamin ketulenan, dos dan tahap kesterilannya,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang doktor berkongsi pengalamannya merawat wanita muda yang bakal berkahwin didakwa mengambil suntikan kurus dibelinya secara dalam talian sehingga terpaksa dirujuk ke hospital kerana mengalami komplikasi serius.

Menceritakan detik cemas itu, Dr Hannani Murni Indah Kamarudin berkata, gadis berusia 24 tahun itu datang ke kliniknya di Batu Pahat, Johor, dalam keadaan meraung kesakitan akibat sakit perut dengan mata dan wajahnya kekuningan serta degupan jantung mencecah antara 132 hingga 140 denyutan seminit.

Mangsa yang berjaya menurunkan berat badan dari 80 kepada 54 kilogram kemudian dirujuk ke hospital di Johor Bahru selepas mengalami komplikasi termasuk hati dan jantung membengkak serta usus bocor.

Dalam pada itu, Dr Hamidah turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan RETA tanpa penilaian dan seliaan doktor bertauliah.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina itu berkata, produk yang diperoleh daripada pasaran gelap tidak dapat dipastikan kandungan sebenar, dos yang tepat, ketulenan mahupun sama ada ia disediakan secara steril manakala suntikan yang tidak steril boleh menyebabkan jangkitan serius.

“Tanpa pemantauan doktor, tiada siapa yang memantau tindak balas badan pesakit atau bersedia mengendalikan sebarang kesan buruk.

“Sudah terdapat laporan kes individu yang mengalami masalah kesihatan serius seperti mata menjadi kuning yang menjadi petanda masalah hati, degupan jantung laju serta kerosakan hati dan buah pinggang selepas menggunakan produk suntikan kurus yang tidak terkawal ini.

“Terdapat pilihan rawatan yang sudah diluluskan dan berdaftar secara sah dengan data keselamatan yang lebih mantap serta boleh diberikan di bawah pemantauan perubatan.

“Keselamatan pesakit harus sentiasa diutamakan berbanding hasil yang cepat tetapi berisiko,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor Estetik Berdaftar Malaysia (PDEBM), Dr Ungku Mohd Shahrin Ungku Mohd Zaman berkata, setakat ini tiada bekalan RETA secara sah boleh diperoleh di klinik di Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata, bekalan suntikan terbabit dipercayai diperoleh daripada platform jualan atas talian serta dipromosikan oleh pempengaruh secara tidak sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top