Ipoh: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memaklumkan dakwaan berkaitan pengabaian kebajikan gajah di Zoo Tennoji, Jepun perlu disokong bukti munasabah sebelum sebarang tindakan penamatan program kerjasama atau proses repatriasi haiwan itu boleh dipertimbangkan.
Yang Dipertua MPT Mohamed Akmal Dahalan berkata keputusan berkaitan penamatan program tidak boleh dibuat secara unilateral (sebelah pihak) kerana ia tertakluk kepada syarat dan peruntukan yang telah dipersetujui dalam perjanjian antara pihak terlibat.
“Proses pemulangan gajah atau penamatan kerjasama hanya boleh dilaksanakan berdasarkan penilaian sewajarnya serta bukti jelas sekiranya berlaku pelanggaran syarat perjanjian, khususnya membabitkan aspek kebajikan haiwan.
“MPT ingin menegaskan sebarang keputusan berkaitan penamatan program kerjasama termasuk proses pemulangan gajah atau pelaksanaan repatriasi perlu dibuat berdasarkan asas yang jelas dan disokong bukti pelanggaran syarat perjanjian yang munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Akmal berkata pihak zoo bertanggungjawab memastikan aspek kebajikan, kesihatan, pemakanan, rawatan veterinar, keselamatan serta pengurusan harian gajah dilaksanakan mengikut piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.
“Zoo Tennoji juga diwajibkan melaksanakan program pengayaan persekitaran secara berterusan selain mematuhi larangan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kebajikan haiwan atau melibatkan hibridisasi.
“Malah MPT dan agensi berkaitan mempunyai hak menjalankan audit dan pemantauan berkala bagi memastikan semua syarat perjanjian dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Mohamed Akmal berkata mekanisme pemantauan turut dilakukan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama dari semasa ke semasa selain kewajipan pihak zoo menyediakan laporan tahunan berkaitan keadaan kesihatan dan pengurusan gajah.
Berhubung isu ketelusan, beliau berkata salinan penuh perjanjian tidak boleh dikongsikan kepada umum kerana ia dokumen rasmi kerajaan berstatus sulit dan tertakluk kepada obligasi perundangan serta profesional antara dua pihak.
Bagaimanapun beliau berkata MPT akan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa siasatan yang memerlukan akses kepada dokumen itu.
“Kandungan perjanjian dirangka berdasarkan penelitian menyeluruh dengan merujuk Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan Malaysian (NECAP) serta garis panduan antarabangsa oleh World Association of Zoos and Aquariums (WAZA).
“Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia (JKP) kini sedang meneliti perkara itu termasuk merancang lawatan ke Jepun bagi tujuan penelitian dan pengumpulan maklumat,” katanya.
Tiga ekor anak gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat kini ditempatkan di Zoo Tennoji di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa bagi tempoh 25 tahun antara zoo itu dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili MPT.
© New Straits Times Press (M) Bhd




