saufi@mediaprima.com.my / telegram
KANAK-KANAK era moden ketika ini tidak boleh ‘lari’ daripada tempoh masa skrin kerana platform berkenaan turut berperanan menjadi ‘guru maya’ kepada golongan berkenaan.
Antara platform yang paling popular dikunjungi adalah YouTube, khususnya untuk golongan kanak-kanak melihat variasi kandungan bermula daripada kartun, rancangan permainan sehingga kepada sketsa lucu untuk golongan itu.
Ia sekali gus memberi kesan kepada golongan itu jika ibu bapa tidak cakna dengan kandungan yang dilihat oleh anak-anak berkenaan.
Penyedia platform berkenaan, YouTube terus memperkukuh komitmennya terhadap keselamatan digital dengan memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada akaun remaja berpenyeliaan, selain menggariskan panduan keselamatan dalam talian khusus untuk keluarga.
Pendekatan ini memberi tumpuan kepada keseimbangan antara kawalan ibu bapa dan kebebasan remaja, selari dengan perubahan corak penggunaan platform video dalam kalangan golongan muda.
Menerusi kemas kini terbaharu, YouTube memperkenalkan kawalan yang lebih fleksibel terhadap penggunaan kandungan, khususnya bagi ciri video pendek atau ‘Shorts’.
YouTube turut memperkenalkan ciri kawalan masa untuk ‘YouTube Shorts’ sekali gus memudahkan ibu bapa mengawal masa anak-anak menonton YouTube.
Ciri ini membolehkan penetapan masa menonton kepada sifar dan ia adalah ciri pertama sepertinya dalam industri.
Ibu bapa kini boleh menetapkan had masa tontonan atau mengehadkan akses kepada ciri tersebut sepenuhnya mengikut keperluan keluarga.
Langkah ini dilihat sebagai usaha mengawal tabiat penggunaan berlebihan, terutama kandungan berbentuk tatal tanpa henti yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, ciri kawalan masa turut dipertingkat dengan pengenalan fungsi seperti peringatan ‘Take a Break’ dan tetapan waktu tidur.
Melalui fungsi berkenaan, ibu bapa boleh menetapkan had masa penggunaan yang lebih tersusun bagi membantu remaja menguruskan masa mereka dengan lebih berdisiplin.
Pada masa sama, YouTube turut menambah baik garis panduan kandungan yang disyorkan kepada remaja, dengan memberi fokus kepada pengalaman tontonan yang lebih sihat dan bersesuaian dengan peringkat umur.
Daripada sudut pengurusan akaun, proses penyeliaan kini menjadi lebih mudah apabila ibu bapa boleh menghubungkan akaun mereka dengan akaun remaja secara sukarela.
Melalui sistem ini, ibu bapa berupaya melihat aktiviti tertentu seperti muat naik video atau interaksi, tanpa menjejaskan sepenuhnya privasi remaja.
Pendekatan ini menekankan konsep kepercayaan dan pemantauan bersama, bukannya kawalan sepenuhnya.YouTube turut mengingatkan bahawa penggunaan alat kawalan sahaja tidak mencukupi tanpa peranan aktif ibu bapa.
Menerusi panduan keselamatan dalam talian untuk keluarga, platform itu menekankan kepentingan menetapkan batasan yang jelas berdasarkan kesesuaian setiap isi rumah.
Ini termasuk menentukan jenis kandungan yang boleh ditonton serta tempoh masa penggunaan harian, bergantung kepada umur dan tahap kematangan anak.
Platform itu juga menggalakkan ibu bapa memastikan kandungan yang diakses adalah sesuai dengan umur.
Platform berkenaan menyediakan pelbagai pilihan tetapan pengalaman tontonan, termasuk penggunaan aplikasi khusus untuk kanak-kanak atau akaun remaja yang diselia.
Pendekatan ini membantu memastikan kandungan yang dipaparkan adalah lebih selamat dan relevan, selaras dengan garis panduan komuniti yang ditetapkan.
Selain itu, penggunaan profil atau akaun berasingan bagi setiap ahli keluarga turut disarankan bagi memudahkan pemantauan dan pengurusan kandungan.
Melalui ciri seperti ‘Who’s Watching’, ibu bapa boleh memastikan setiap anak mempunyai pengalaman tontonan yang berbeza mengikut keperluan masing-masing.
Pengurusan ini turut disokong oleh pusat kawalan keluarga yang membolehkan ibu bapa memantau aktiviti serta mengubah tetapan dengan lebih mudah.
Secara keseluruhan, pendekatan yang diketengahkan oleh YouTube menekankan gabungan antara penggunaan teknologi dan komunikasi dalam keluarga.
Platform itu tidak hanya bergantung kepada sekatan teknikal, sebaliknya menggalakkan ibu bapa untuk berbincang secara terbuka dengan anak mengenai tabiat penggunaan kandungan digital.
Langkah ini memperlihatkan usaha YouTube dalam menyediakan persekitaran digital yang lebih selamat tanpa menghapuskan kebebasan pengguna muda.
Dalam landskap digital yang semakin kompleks, pendekatan seimbang antara kawalan dan pendidikan dilihat sebagai kaedah paling berkesan dalam membentuk tabiat penggunaan teknologi yang sihat dalam kalangan generasi baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




