Penang FC antara pasukan tumpuan musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Pendatang baharu Liga Super, Penang FC menjadi antara pasukan tumpuan dalam saingan itu musim ini selain boleh dianggap sebagai ‘pembunuh gergasi’.
Memegang status juara Liga Perdana musim lalu, ia mungkin sudah cukup menggambarkan bahawa skuad Harimau Kumbang bukan calang-calang pasukan dan mampu untuk bersaing dengan pasukan gergasi.

Kemasukan ketua jurulatih baharu dari Republik Czech, Tomas Trucha bagi menggantikan Manzoor Azwira juga dilihat antara kekuatan yang dimiliki skuad Penang FC musim ini.

Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan, Trucha menjelaskan keutamaan sekarang adalah bukan mencari kelemahan dalam pasukan, tetapi apa yang penting untuknya memahami karakter anak buahnya di atas padang.

“Setiap pemain memang penting untuk saya dan tiada seorang pun yang senang mendapat peluang dalam kesebelasan utama tanpa membuktikan kemampuan mereka. Mereka perlu rebut peluang sebaiknya untuk saya nilai, siapakah yang mampu galas tugas dalam skuad utama.

“Macam mana pun, mereka kena bersedia dengan tempoh masa yang kita ada ini dan fasa untuk mengenali antara satu sama lain ketika ini berjalan dengan baik untuk kita semua,” katanya.

Kehadiran pemain baharu termasuk bintang import, Ryuji Utomo dan Sheriddin Boboev dilihat mampu membentuk gandingan mantap bersama tiga lagi pemain import yang dikekalkan iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana 2020, Casagrande, Endrick dos Santos dan Rafael Vitor.

Pemain tempatan pula tumpuan turut diberikan kepada pemain muda dari Kelantan, Danial Ashraf Abdullah yang akhirnya berhijrah selepas empat musim berbakti di negeri kelahiran sejak tahun 2016.

Penang FC akan membuka tirai saingan Liga Super musim ini dengan menanti kunjungan satu lagi pendatang baharu, Kuala Lumpur United FC di Stadium Bandaraya, 6 Mac ini.-BH

Malay News
Sports Desk