Penanguhan bayaran balik PTPTN masih boleh dimohon

KUANTAN – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terjejas akibat banjir besar di Pahang masih boleh membuat permohonan moratarium bagi menangguhkan bayaran balik pinjaman.

Pengarah Pengurusan PTPTN Negeri Pahang, Sapiza Ajuham berkata, permohonan itu boleh dibuat di ibu pejabat negeri, cawangan PTPTN termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Tambah beliau, para peminjam dinasihatkan membuat permohonan secara atas talian bagi memudahkan urusan penangguhan bayaran balik dan penstrukturan semula jadual bayaran.

Menurut Sapiza, moratarium pembayaran balik pinjaman diberi secara automatik kepada peminjam bermula Mac hingga Disember tahun lalu sekiranya pendapatan peminjam terjejas.

“Selepas Disember boleh juga membayar tetapi kita beri juga pengecualian selama tiga bulan lagi dari Januari hingga Mac kepada golongan yang betul- betul terjejas, yang tidak ada pendapatan,

“Pengecualian juga termasuk kepada yang hilang pekerjaan disebabkan pandemik atau pun terjejas banjir besar pun kita beri pengecualian tiga bulan.

“Bagaimanapun  mereka boleh buat permohonan dengan pihak PTPTN untuk meneruskan moratarium atau buat permohonan atas talian pada bila-bila masa sekiranya masih belum boleh membuat bayaran, jika masih terjejas.” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui media selepas program bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya yang  menyampaikan hadiah pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada bayi baru lahir.

Dalam pada itu, Sapiza menggalakan ibu bapa muda untuk menabung awal demi masa depan mereka.

“Antara manfaat kepada penabung mendapat keuntungan kompetitif diberi dividen 4 % serta pelepasan taksiran cukai untuk simpanan sehingga RM8,000 dan manfaat takaful secara percuma termasuk perlindungan RM1,000 untuk khairat kematian.

“Manakala penabung yang berpendapatan RM4,000 ke bawah kita ada geran sepadan RM10,000 untuk setiap keluarga di mana jika anak dia masuk ke universiti, kita tegok jumlah simpanan dia, dan simpanlah banyak-banyak untuk melayakkan dapat geran sepadan.

“Pembukaan akaun SSPN-i hanya serendah RM20, lagi banyak kita simpan lagi banyak dividen kita dapat.” – MalaysiaGazette