mdroji@bh.com.my
Kuching: Penantian wanita warga emas selama 19 tahun untuk menunaikan ibadah haji berakhir selepas beliau berangkat ke Tanah Suci malam ini.
Nen Abang Mat, 75, dari Kampung Baru, Samarahan berkata, beliau mula menunggu disenaraikan sejak 2006, namun setiap tahun, tiada surat tawaran diterimanya.
Menurutnya, apabila usia semakin lanjut, beliau menunaikan umrah pada 2019 kerana bimbang tidak berkesempatan ke Tanah Suci.
“Ketika itu saya masih sihat, berjalan pun cergas lagi, lalu saya mengambil keputusan untuk menunaikan umrah kerana bimbang tidak sempat menunaikan haji kerana usia pun semakin lanjut.
“Selepas beberapa tahun, tiba-tiba tawaran untuk menunaikan haji tiba tahun lalu, namun ketika itu, saya kurang cergas lagi kerana mengalami masalah kaki,” katanya ketika ditemui pada Majlis Keberangkatan Bakal Jemaah Haji Sarawak di sini, malam ini.
Nen antara kumpulan pertama seramai 142 bakal jemaah berlepas ke Tanah Suci dengan majlis keberangkatan itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Menurut Nen, teruja menerima tawaran itu, beliau meminta anaknya, Salmiah Sam, 39, membuat rayuan untuk menjadi pengiringnya.
“Saya tidak akan melepaskan peluang ini kerana tidak mungkin ia datang lagi selepas ini.
“Syukur alhamdulillah, rayuan anak saya diterima dan impian saya untuk menunaikan haji kini semakin hampir menjadi kenyataan,” katanya sambil memaklumkan beliau menyimpan wang pemberian bapanya hasil pampasan tanah, kira-kira 20 tahun lalu dan tiada lain niat dirinya menerima wang itu melainkan menyimpannya untuk menunaikan ibadah haji.
Keseluruhannya seramai 817 bakal jemaah haji dengan 331 daripada lelaki dan 486 wanita dari Sarawak terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini.
Mereka akan berlepas ke Tanah Suci dengan empat penerbangan bermula malam ini dan yang terakhir pada 13 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd