ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat berkata Washington sedang merangka beberapa perjanjian perdagangan baharu, sehari selepas mengumumkan termeterainya perjanjian penuh dengan United Kingdom (UK).
“Banyak Perjanjian Perdagangan sedang dikumpulkan, semuanya baik (HEBAT!),” tulis Trump menerusi platform Truth Social, menurut laporan Anadolu Ajansi.
Pada Khamis, Rumah Putih mengesahkan bahawa ia telah memuktamadkan satu perjanjian perdagangan “penuh dan menyeluruh” dengan UK, yang digambarkan sebagai “yang pertama daripada banyak lagi” perjanjian dijangka dalam masa terdekat.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent memaklumkan kepada penggubal undang-undang pada Rabu bahawa rundingan sedang berlangsung dengan beberapa negara.
“Terdapat banyak negara… dan kami sedang bergerak maju dengan kadar yang pantas tetapi berhati-hati,” kata Bessent. “Sebahagiannya telah mencapai tahap yang agak ke hadapan.”
Beliau berkata AS kini sedang berbincang dengan 17 rakan dagang utama dan menjangkakan kebanyakan perjanjian tersebut akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan.
“Saya akan terkejut jika kita tidak menyelesaikan lebih 80 atau 90 peratus daripadanya menjelang akhir tahun,” katanya.
AS juga dijadual memulakan rundingan perdagangan dengan China pada Sabtu ini di Switzerland. Perbincangan itu diadakan susulan ketegangan yang memuncak sejak beberapa bulan lalu berhubung isu tarif antara kedua-dua pihak. – Bernama-Anadolu