am@hmetro.com.my
Shah Alam: Penceroboh tanah perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya diberi tempoh sehingga 31 Mac ini untuk melakukan pengosongan tapak.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat sedemikian, tindakan penguatkuasaan seterusnya akan diambil.
“Dalam kes pencerobohan tanah warta perkuburan Islam di PJS 4, kerajaan negeri sudah memberi tempoh bagi dilakukan pengosongan tapak sehingga 31 Mac ini.
“Kegagalan mengosongkan tanah perkuburan tersebut dalam tempoh ditetapkan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan pengosongan tapak oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bersama JAIS dan agensi penguat kuasa lainnya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa tanah perkuburan berkenaan adalah tanah yang diwartakan di bawah jabatan itu mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (1965) dan bukan tanah wakaf di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seperti yang ditularkan di media sosial.
Katanya, tindakan terhadap pencerobohan di atas tanah berkenaan juga sudah diambil di bawah gerak kerja pemutihan pencerobohan tanah JAIS yang dilaksanakan bersama pihak pentadbir tanah daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“JAIS, MAIS dan kerajaan negeri akan terus menjalankan apa juga langkah yang perlu bagi memastikan pencerobohan ke atas tanah warta JAIS, mahupun tanah wakaf MAIS diputihkan dengan segera dan usaha-usaha menghalang sebarang pencerobohan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan tanah warta JAIS atau tanah wakaf MAIS bolehlah menghubungi JAIS, MAIS, PDT ataupun PBT untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Pada November tahun lalu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menerusi kenyataan media memaklumkan berhubung pencerobohan berkenaan membabitkan pembinaan struktur tiga rumah ibadat bukan Islam.
Pencerobohan itu dilaporkan JAIS kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan PBT untuk tindakan penguatkuasaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




