Pencuci muka mesti sesuai dengan kulit

Lifestyle: Sebahagian orang menganggap bahawa pemilihan pencuci muka tidak penting asalkan ia sudah cukup membersihkan sahaja.

Walaubagaimanapun, tahukah anda bahawa pemilihan pencuci muka yang betul dan sesuai dengan jenis kulit amat penting supaya proses penjagaan kulit selepas langkah mencuci dapat menyerap sempurna ke dalam kulit muka.

Sebagai pengetahuan, mencuci muka adalah langkah pertama dalam rutin penjagaan kulit muka. Tujuan mencuci muka adalah untuk membuang segala kotoran daripada tersumbat pada liang pori yang akan menyebabkan tumbuhnya jerawat.

Terdapat banyak pencuci muka yang berada di pasaran. Antaranya berbentuk cecair sabun, berbuih, gel, krim dan minyak.

Persoalan utama kini adalah bagaimana ingin memilih pencuci yang sesuai dengan kulit muka.

Pertamanya, disarankan bagi anda yang berkulit sensitif berjerawat untuk menggunakan produk pencuci muka yang berbentuk gel dan tidak berbuih. Ini kerana tekstur gel ini tidak mengeringkan kulit, dapat menyerap lebihan minyak dan membuang kotoran agar tidak tersumbat pada liang pori. Jenis pencuci ini juga sesuai untuk kulit normal dan kombinasi.

Keduanya, bagi anda yang kulit kering dan sensitif pula boleh menggunakan pencuci muka berasaskan minyak. Pencuci yang bertekstur minyak ini bertindak secara minyak menarik minyak. Ia mampu menyerap kotoran tanpa mengeringkan kulit di samping memberi nutrien pada kulit.

Selain itu, untuk anda yang kulit kering dan sensitif juga sesuai untuk menggunakan pencuci muka yang bertekstur krim. Ini kerana ia bertekstur pekat yang mampu menyingkirkan kotoran tanpa menyingkirkan minyak semula jadi.

Ketiganya, bagi kulit berminyak dan kombinasi boleh juga menggunakan pencuci yang berbuih kerana ia mampu menyingkirkan minyak tetapi ia agak mengeringkan kulit. Jadi, sekiranya kulit anda memang menghasilkan banyak minyak, bolehlah menggunakan pencuci jenis buih ini.

Itu sahaja perkongsian berkenaan pemilihan pencuci muka. Justeru, pastikan anda memilih pencuci muka yang betul agar kulit muka kekal sihat.

Sumber: Sinar Plus

Akmal Hakim
Lifestyle Desk