am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan sebarang isu berkaitan status pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri dan RoS.
Katanya, terlalu awal untuk mengulas mengenai isu berkenaan memandangkan PN berhasrat untuk mengemukakan rayuan.
“Saya rasa biarlah mereka kerana sekarang mereka mahu mengemukakan rayuan? Saya tidak akan memberikan respons.
“Keadaan ini boleh dikatakan masih terlalu awal untuk diulas,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Sebelum ini, RoS mengesahkan membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Notis terdahulu bertarikh 22 September lalu dikeluarkan kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.
Terdahulu, RoS pada 23 September lalu, mengesahkan semua kegiatan PN digantung mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.
PN menerima notis RoS bertarikh 22 September lalu yang memberi tempoh 30 hari kepada gabungan itu untuk mengemukakan penjelasan mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




