farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pendaftaran Tahun Satu bagi sesi akademik 2027 termasuk untuk murid berusia enam tahun akan dibuka mulai 15 Februari hingga 31 Mac ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara dalam dua kohort umur iaitu enam tahun (5+) yang lahir pada 2 Januari hingga 31 Disember 2021 serta tujuh tahun (6+) bagi 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021
Katanya, pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) di https://idme.moe.gov.my.
“Keputusan ini selaras dengan dasar kerajaan yang membolehkan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) memasuki Tahun Satu secara sukarela mulai 2027 tanpa perlu menduduki ujian saringan,” menurut kenyataan KPM, hari ini.
Semalam, Kerajaan bersetuju ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027, tidak dilaksanakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu telah diteliti termasuk kebimbangan pelaksanaan cadangan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.
Menurut kenyataan itu, inisiatif untuk menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) ke Tahun Satu adalah langkah progresif kerajaan.
Katanya, ia bagi memastikan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak serta pada masa sama memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan.
“Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga disarankan untuk mendaftar akaun di Sistem Pengurusan IDentiti (idMe), mengemas kini maklumat peribadi dan mengemukakan permohonan menerusi MOEIS mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
“Maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh dirujuk menerusi laman portal rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




