am@hmetro.com.my
Jerantut: Seorang pendaki yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan cedera di pinggul dan tidak sedarkan diri dihempap pokok ketika tidur di Kem Seputih, berdekatan Gunung Rajah, Kuala Tahan, semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut Deputi Superintendan Zukri Muhammad berkata, kejadian menimpa Wan Nurulhuda Mior Abdullah, 49, itu berlaku kira-kira 12 tengah malam.
“Wan Nurulhuda mengikuti ekspedisi pendakian sejak 7 Oktober dan turun dari gunung itu semalam.
“Maklumat daripada Jabatan Perhutanan dan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan ) Kuala Tahan memaklumkan pendakian itu disertai seramai 10 individu dengan bantuan Malim Gunung, Mainol Azian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah diterbangkan ke Kuala Tahan untuk menerbangkan wanita itu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Arahan kepada pasukan penyelamat melalui jalan darat diwujudkan jika bantuan unit udara tidak diperoleh dan bersiap sedia di Kuala Tahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd