am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Struktur siling sebuah stesen minyak di Bukit Garam, dilapor runtuh ketika hujan lebat dan angin kencang, petang tadi.
Keadaan kerosakan stesen minyak berkenaan dikongsikan pengguna media sosial dan enam kenderaan yang berada di stesen minyak itu ketika kejadian dihempap bumbung yang runtuh.
Semua enam kenderaan yang rosak iaitu Toyota Hilux, Isuzu D Max, Proton X70, Exora, Perodua Alza dan Myvi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.47 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba didapati berlaku runtuhan bumbung dan siling stesen minyak dan menghempap enam kenderaan.
“Bagaimanapun tiada mangsa terbabit dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengalihkan runtuhan ke tempat selamat.
“Pemeriksaan dijalankan memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.59 petang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd