Setahun anak diserang, Rafizi dakwa kes 'diam dan mati begitu sahaja'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa kes serangan terhadap anaknya di Putrajaya setahun lalu, “diam dan mati begitu sahaja.”

Ahli Parlimen Pandan itu membuat dakwaan berkenaan menerusi hantaran video di Facebook, malam tadi sempena genap setahun kejadian itu.

“Setahun telah berlalu, kes diam dan mati begitu sahaja. Saya ada dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri Dalam Negeri dalang yang disyaki terlibat, tetapi bila saya minta beliau jawab secara terbuka di Parlimen beliau menolak.

“Serangan seperti ini mungkin akan dilupakan oleh pihak berkuasa dan mereka yang memegang amanah tetapi ia tidak mungkin dilupakan oleh keluarga mangsa. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita seorang kanak-kanak diserang dan isteri diugut hanya kerana pendirian politik suaminya,” katanya.

Mengimbas kejadian pada 13 Ogos tahun lalu, Rafizi berkata, anaknya diserang ketika hendak memasuki kereta di hadapan orang ramai.

“Orang yang menyerang itu memakai pakaian rider serba gelap dan topi keledar yang menutup muka. Dengan tangannya memegang dan melilit leher anak saya. Dia menyuntik sesuatu ke bahu anak saya sebanyak dua kali sementara menjerit kepada isteri saya, ‘aku cucuk dia’.

“Malam dan keesokannya isteri saya menerima beberapa mesej WhatsApp yang mengugut, ‘diam, lepas ini HIV’.

“Nombor telefon yang menghantar mesej pun ada walaupun pihak berkuasa buat kenyataan ia didaftarkan atas nama bukan rakyat Malaysia,” katanya.

Rafizi mendakwa serangan itu bertujuan mengugut isterinya supaya memaksa beliau bersara daripada politik.

“Saya faham mesej yang ingin disampaikan melalui serangan itu. Ada kumpulan yang ingin mengugut isteri saya supaya beliau memaksa saya bersara daripada politik kalau tidak mahu diancam.

“Kalau ia boleh berlaku kepada anak seorang bekas menteri seperti saya di khalayak ramai, kaedah menyerang dan mengugut seperti ini akan digunakan terhadap rakyat biasa,” katanya.

Beliau turut meminta pihak yang mencemuhnya kerana mengambil jalan politik berbeza daripada Pakatan Harapan supaya membayangkan jika kejadian sama menimpa anak mereka.

“Kalau ada orang yang mencemuh saya kerana saya ambil jalan politik yang kini berbeza daripada Pakatan Harapan, saya harap mereka yang juga sudah tentu seorang ibu dan seorang bapa renungkan kalaulah ini berlaku kepada anak anda. Semua ini berlaku di bawah pentadbiran kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Rafizi berkata, beliau akan terus memperingati tarikh kejadian sehingga pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Walaupun pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan, saya tahu bukan saja dalang orang yang menyerang kanak-kanak ini perlu jawab di akhirat nanti, sebenarnya semua yang ada kuasa dan bertanggungjawab tetapi tidak melaksanakan amanah mereka juga perlu jawab di akhirat nanti,” katanya.

Untuk rekod, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang pada 13 Ogos tahun lalu di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Anak lelaki Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun didakwa ditarik dan dicucuk menggunakan jarum suntikan oleh seorang daripada dua lelaki berpakaian gelap serta bertopi keledar penuh.

Polis memaklumkan keterangan 19 individu sudah dirakam, manakala nombor telefon yang digunakan untuk mengugut isteri Rafizi didaftarkan atas nama seorang warga asing.

Bagaimanapun, identiti penyerang masih belum dikenal pasti berikutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh tidak jelas.

Pada Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata maklumat tertentu tidak boleh didedahkan kerana dikhuatiri mengganggu usaha mengesan suspek serta menjejaskan keselamatan saksi penting.

Beliau turut memaklumkan kes masih dalam siasatan, manakala sebarang keputusan untuk mengklasifikasikannya sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) bergantung kepada perkembangan dan petunjuk baharu yang ditemukan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top