82,092 calon lepasan STPM, asasi, STAM, diploma/setaraf ditawar tempat pengajian UA

PUTRAJAYA: Seramai 82,092 calon lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma/ Setaraf berjaya ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke 20 Universiti Awam (UA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, jumalh itu adalah meliputi 76.1 peratus daripada 107,875 permohonan yang layak bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi UPUOnline®.

Secara keseluruhannya, katanya, sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” katanya hari ini.

KPT berkata, mana-mana calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, pihak kementerian kini membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari.

Ia bermula daripada tarikh hari ini pada pukul 12.00 tengah hari sehingga 23 Ogos depan, pukul 5.00 petang.

“Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top