Pendakwaan lima warga Iran tangguh, tiada jurubahasa Parsi

Pendakwaan lima warga Iran tangguh, tiada jurubahasa Parsi

am@hmetro.com.my

Georgetown: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terpaksa menangguh prosiding pendakwaan terhadap lima warga Iran selepas mahkamah dimaklumkan kesemua tertuduh tidak faham Bahasa Melayu atau Inggeris bagi mendengar pertuduhan.

Penangguhan itu dibuat bagi membolehkan jurubahasa Parsi dilantik sebelum pertuduhan dibacakan pada tarikh baharu yang ditetapkan iaitu 10 September depan.

Penetapan itu dibuat terhadap tertuduh berusia antara 19 hingga 33 tahun dilakukan di hadapan tiga majistret berasingan iaitu Nadratun Naim Mohd Saidi, Siti Nurul Suhaila Baharin dan Muhammad Amzar Ismail.

Kesalahan yang akan dituduh termasuk mencuri di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, pengambilan dadah mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta tinggal lebih masa di negara ini mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, peguam, R Thandayuthabany Pillay memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memerlukan khidmat jurubahasa Parsi bagi memahami sepenuhnya pertuduhan yang akan dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, Lau Shavin dan Syairah Aqilah Khalil.

Mahkamah turut memutuskan kesemua tertuduh tidak dibenar diikat jamin.

Pada 3 Ogos lalu media melaporkan polis menerima laporan daripada tiga pelancong asing dari Taiwan, Belanda dan Syria, selepas menjadi mangsa sindiket pukau membabitkan lima warga Iran menyebabkan mereka kerugian wang tunai.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek dipercayai terbabit secara langsung dalam kejadian yang berlaku di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Modus operandi mereka adalah dengan berpura-pura beramah mesra dengan pelancong sebelum meminta mangsa menunjukkan wang tunai.

Ketika perbualan berlangsung, wang mangsa diambil tanpa disedari, dan hanya disedari selepas suspek beredar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top