Pendatang haram 'kecut perut' menyusup ikut laut

Pendatang haram 'kecut perut' menyusup ikut laut

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Semakin ramai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) gerun untuk menceroboh masuk ke negara ini melalui jalan laut.

Ini dibuktikan apabila Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) hanya menahan seramai 17 PATI di seluruh negara sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kesemua PATI ditahan membabitkan lapan warga Indonesia dan sembilan Myanmar.

Menurutnya, semua mereka ditahan kerana cuba masuk dan keluar menerusi laluan ‘tikus’ secara tidak sah.

“Bagi tempoh sama, APMM turut berjaya merekodkan 16 tangkapan di seluruh negara bagi kes penyeludupan barangan kawalan seperti petrol dan diesel, terutamanya di kawasan perairan Sabah.

” Selain itu sejumlah 17 tangkapan dilakukan membabitkan kes rampasan barangan kontraban seperti rokok, minuman keras dan tong gas memasak membabitkan nilai keseluruhan melebihi RM9.2 juta,” katanya pada Majis Penutup OP REDBACK 20 di Avillion Hotel di sini, tadi.

Turut hadir, Kaunselor Australia Border Force (ABF) di Suruhanjaya Tinggi Australia, Superintendan Brooke Leung dan Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata usaha membanteras jenayah rentas sempadan maritim terus diperkasa menerusi Operasi Redback Ke-20 (OP REDBACK 20) melalui kerjasama strategik antara APMM dan Australian Border Force (ABF) di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya, sepanjang OP REDBACK 20 ini, sebanyak 122 pemeriksaan dilakukan membabitkan kapal dagang, vesel nelayan tempatan (VNT), bot penumpang dan tug boat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top