Pendekatan kerja fleksibel lebih realistik – MTUC

Pendekatan kerja fleksibel lebih realistik – MTUC

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendekatan sistem pekerjaan di negara ini dilihat lebih realistik dengan pelaksanaan model waktu bekerja fleksibel sebelum beralih kepada tempoh empat hari bekerja seminggu.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata pelaksanaan tempoh bekerja empat hari seminggu di Malaysia masih menjadi perbincangan awal dan kompleks, selain memerlukan pertimbangan menyeluruh, termasuk penyediaan kajian terhadap sektor yang boleh mengadaptasi sistem ini tanpa menjejaskan operasi.

Katanya, sebaliknya, pendekatan fleksibiliti waktu kerja boleh membantu pekerja menyesuaikan jadual mereka dengan kehidupan peribadi tanpa menjejaskan produktiviti.

“Budaya kerja di Malaysia masih berpegang kepada prinsip jam kerja panjang sebagai ukuran produktiviti, walaupun kajian menunjukkan kerja lebih pendek boleh meningkatkan motivasi dan kecekapan.

“Namun, majikan mungkin lebih cenderung kepada sistem kerja fleksibel berbanding pemotongan hari kerja secara tetap. Walaupun dari segi ekonomi dan kos operasi, perubahan ke minggu kerja empat hari boleh memberi kesan positif kepada kesejahteraan pekerja dengan mengurangkan keletihan serta meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan.

“Tetapi, ia juga boleh menimbulkan cabaran, terutama bagi sektor yang bergantung kepada operasi secara 24 jam,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan agensi berita Jerman bahawa lebih 200 syarikat di United Kingdom (UK) membuat keputusan untuk beralih secara kekal kepada bekerja empat hari seminggu tanpa sebarang pengurangan gaji.

Pada masa sama, Mohd Effendy berkata, minggu bekerja lebih pendek boleh diperkenalkan secara berperingkat bagi menilai kesannya terhadap produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan syarikat menyesuaikan operasi tanpa memberi kesan negatif kepada perkhidmatan atau prestasi syarikat.

Katanya, dialog antara kerajaan, kesatuan pekerja, dan majikan juga penting bagi merangka dasar yang adil, termasuk tempoh bekerja empat hari seminggu.

“Selain waktu bekerja yang fleksibel, penyelesaian bagi sektor pekerjaan Malaysia antaranya membabitkan model kerja hibrid dan pengurangan beban kerja tidak produktif.

“Konsep waktu kerja anjal membolehkan mereka memilih masa masuk dan keluar yang lebih sesuai dengan keperluan harian, asalkan jumlah jam kerja dipenuhi.

“Selain itu, model kerja hibrid dan jarak jauh juga boleh menjadi penyelesaian, terutamanya bagi sektor yang tidak memerlukan kehadiran fizikal setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, dalam aspek produktiviti, pelaksanaan minggu kerja empat hari boleh memberi kesan yang berbeza bergantung kepada sektor, model operasi syarikat, dan budaya kerja yang diamalkan.

Katanya, dari sudut positif, kajian dari negara seperti UK dan Iceland menunjukkan pemotongan satu hari bekerja tanpa mengurangkan gaji boleh meningkatkan kecekapan dan motivasi pekerja.

“Dengan tempoh kerja yang lebih pendek, pekerja cenderung lebih fokus dan berdisiplin dalam menyelesaikan tugas mereka. Selain itu, keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik boleh mengurangkan tekanan dan keletihan, sekali gus meningkatkan prestasi mereka semasa bekerja.

“Namun, bagi sektor yang memerlukan kehadiran fizikal seperti perkilangan, logistik, dan kesihatan, pelaksanaan kerja empat hari seminggu boleh memberi cabaran dari segi penyusunan jadual dan keberkesanan operasi.

“Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh membawa kepada kekurangan tenaga kerja pada hari tertentu, menjejaskan kadar pengeluaran dan kecekapan perkhidmatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top